logo
05
Nov

UC Browser Pelayar Web Yang Hebat!

Written by adliayob. Posted in Berita Symbian, Review: Software, Tips Pengguna Symbian


1. Kalau 5 tahun dahulu (tahun 2006) apabila seseorang melayan internet pada skrin telefon bimbit memang kelihatan janggal dan hebat. Jika ada orang kiri-kanan yang melihat aktiviti anda, pasti mulutnya ternganga! Maklum sahajalah pada waktu itu, teknologi internet seperti WLAN dan 3G/HSDPA belum lagi masuk ke aliran utama teknologi mudahalih.

2. Telefon Symbian paling hebat pada waktu itu ialah Sony Ericsson P990 dan Nokia N91. Kedua-dua telefon pintar ini telahpun mengadaptasi spektrum data 3G dan dilengkapi dengan chip WLAN (WiFi b/g). Pelayar Web yang paling terkenal masa itu ialah Opera Mobile dan ia dipasang secara lalai pada P990 (dan semua telefon UIQ 3.0). Pada waktu itu juga Nokia N91 telahpun menggunakan teknologi ‘dual-core’ pada CPUnya jauh mendahului masa (betul laa kan? sekarang pulak baru nak kecoh pasal dual-core nih).

3. Sehingga kini Opera Mobile dan Opera Mini masih mendominasi segmen pelayar web pada platform mudahalih. Saya cukup bertuah kerana pada masa itu saya telah menggunakan kedua-dua N91 & P990 dan meneroka internet dengan pelayar Opera. Saya bersyukur kerana dengan Symbian saya telah lama melayan internet dengan WiFi sebelum orang lain kenal apa itu Safari, Dolphin Browser, Android dan iPhone.

4. Kini, pelayar web generasi baru yang kami gemari telah diberikan nafas baru. Ia dinamakan UC Browser. Nama lamanya ialah UCWeb yang telah Asri al-Baker ceritakan di SINI.

5. UC Browser versi 8.0.3.107 telah dilancarkan baru-baru ini (26 Oktober 2011) dan anda boleh memindahturun fail SISX (untuk Symbian^1, Symbian^3, Anna dan Belle) di SINI.

6. Merujuk kembali kepada tajuk artikel pasti menyebabkan anda tertanya-tanya apakah yang menyebabkan UC Browser ini hebat? Untuk itu, sila lihat gambarajah-gambarajah di bawah ini.

7. Skrin permulaan UCBrowser v8, kemudahan untuk menukar sambungan kepada WiFi turut disediakan pada perisian ini. Di sebelah kanan sekali ialah halaman utama UC Browser.

8. Ada lapan kotak ‘kekunci pintas’ yang boleh anda sunting dan sesuaikan mengikut URL anda sendiri. Dibawahnya terdapat 4 lagi ‘tab’ iaitu Quick Links, Top Sites, Popular Sites dan More. Secara lalai, kesemua pintasan ke laman web dan laman sosial popular telah disediakan untuk anda.

9. Di bahagian atas skrin terdapat butang ‘bookmark’ (bintang), ‘address bar’ dan kotak carian Google manakala pada bahagian bawah terdapat menu navigasi seperti butang ‘back’, ‘forward’, ‘setting menu’, ‘tabs’ dan ‘home’. Jika anda menekan butang ‘setting menu’, akan muncul paparan seperti gambar di atas. Terdapat tiga lagi sub-menu didalamnya iaitu ‘General’, ‘Settings’ dan ‘Tools’.

10. Night Mode dan Day Mode. Satu perkara yang saya sangat-sangat suka dengan UC Browser. Perhatikan jika anda memilih ‘Night Mode’ suasana skrin akan dikelamkan. Ini tidak akan menyakitkan mata apabila membaca artikel panjang pada suatu laman web ketika sebelum tidur. Memang selama ini saya mempunyai masalah tentang kecerahan skrin dan berharap sangat supaya ada pelayar web yang boleh ‘menggelapkan’ skrin telefon AMOLED seperti ini.

11. ‘Screen-Menu’ boleh anda dapatkan jika menekan jari selama 2 saat (tekan lama dan tunggu). Tiga perkara menarik di sini ialah ‘New Tab / Open In Background’ yang membolehkan anda membuka pautan pada ‘tab’ yang baru, kemudahan untuk menukar saiz font (small, medium & large) dan kemudahan ‘Copy’ dimana anda boleh memilih banyak cara untuk salin & tampal.

12. Pengurusan pindahturun data (download manager), penanda buku dan pengurusan pusat akses internet yang terdapat pada UC Browser. Selain itu, ia turut menyediakan pintasan pengurus fail (file manager) untuk menyemak kandungan folder telefon.

13. Satu yang saya suka pada UC Browser ialah pengurusan ‘cache’ yang menjimatkan ruang storan telefon (pemacu C:\) dan RAM pada Symbian. UC Browser mengawal aliran masuk data (trafik) dengan bijak dengan bantuan ‘pemacu maya’ yang dikenali sebagai ‘UC Cloud Service’. Sebagai contoh seperti gambar di atas, saya telah menggunakan ruang memori telefon (untuk cache) sebanyak 3.00Mb sedangkan pada hakikatnya saya telah menggunakan sebanyak 13.93Mb. Ini bermakna, sebanyak 85% aliran data ini telah diserap oleh UC Cloud. Perkara ini akan mengurangkan pergantungan terhadap sumber ram/storan dan membantu sesuatu laman web dipaparkan dengan lebih cepat dan bersaiz kecil. Teknologi ini juga digunakan oleh Opera Mobile. Perkara ini dinamakan ‘Proxy-Rendering’.

14. Untuk mencipta kelainan pada paparan skrin, UC Browser turut menyediakan ‘theme-manager’. Seperti gambar di atas, saya telah memindahturun tema ‘Iron Man’ dan hasilnya? … merah & emas!

15. Untuk pengetahuan, teknologi ‘layout-engine’ yang digunakan oleh UC Browser ialah ‘U3′ (kepunyaan sendiri) dan bukannya berdasarkan/berbasis PRESTO seperti Opera Mobile atau WEBKIT seperti S60 Browser. Kepada mereka yang faham tentang ini, ia akan memberikan pengalaman baru dalam melayari internet dan tidak tipikal seperti Bolt, Dophin, Safari dan Iris (semuanya berdasarkan webkit).

16. Perkataan ‘layout-engine’ ini juga dikenali sebagai ‘rendering-engine’ dimana sesebuah laman HTML (yang beserta teknologi terpalam seperti CSS, JavaScript & Flash/Silverlight) di’baca’ dahulu oleh ‘layout-engine’ dan kemudiannya menghantar semula kandungan yang telah diinterpretasi mengikut kesesuaian resolusi skrin peranti mudahalih. Ini menjawab persoalan ‘mengapa laman web saya tidak teratur jika dilihat melalui Firefox tetapi tersusun rapi dalam Internet Explorer’ kerana Firefox menggunakan ‘layout-engine’ GECKO manakala IE pula TRIDENT.

17. Kepada anda yang inginkan kelainan, kami mengesyorkan UC Browser untuk anda. Walaubagaimanapun, sokongan Adobe Flash masih tidak muncul lagi pada UC Browser versi 8.0 ini. Selamat mencuba!

:: Gambar Hiasan yang diambil petang tadi di Magellan Sutera ::
Pelayar sebenar yang paling berkuasa dan boleh meredah ombak besar ialah anda sendiri yang mengemudi kapal-layar. Ia jauh lebih hebat dari Opera, Firefox mahupun Internet Explorer! Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk semua pembaca SymbianKu.com

 

Related posts:

Tags: ,

Trackback from your site.

  • http://www.facebook.com/people/Rasyadan-Ruzil/1631233139 Rasyadan Ruzil

     N8-00 punya version memang not in the list ke?sebab cari kat list tuh tak jumpe. T_T

  • Anonymous

    Tuan, Sila pindahturun versi Symbian^1 (X6, N97, 5800xm) dan pasangkan pada Symbian^3 anda.

  • http://www.facebook.com/people/Mayang-Abadi/627655678 Mayang Abadi

    untuk C7 tak jumpa pun. satu lagi, boleh tak update terus dari UC Browser di henset ka? 

About

SymbianKu.Com : Blog Symbian Malaysia adalah satu-satunya blog yang didedikasikan khas untuk pengguna Symbian di Malaysia dan Nusantara serta Alam Melayu - dalam Bahasa Melayu!

Pilih Kategori

Switch to our mobile site