Tolong! Kredit Telefon Lesap Pada Kelajuan 50sen Sesaat!
“Kau tolong format telefon ni. Baru sekejap tadi saya isi kredit Rm10, sekarang dah tinggal Rm6. Barangkali ada virus.” ujar seorang Haji kepada saya sambil mulutnya terkumat-kamit memaki-hamun anaknya.
“Mana ada? Aku cuma tukar ringtone jak tadi Pak. Mana ada aku hantar ‘on panas’?.. Upload gambar ke Facebook pun tidak!” hujah anaknya sehingga menyebabkan saya terpegun seketika. Dalam hati saya, dahsyat betul ilmu budak-budak zaman ni. Facebook tu!!! Lama saya memerhatikan mukanya, tapi tidak ada pula iras-iras Asri al-Baker.
Keputusannya, saya tidak perlu jadi juri disitu. Saya perlu cepat2 ‘membuang’ segala perisian yang memerlukan sambungan internet pada telefon E71 itu dan memformatkannya. Terkejut saya bila melihat satu folder yang penuh dengan perisian ‘social networking’ pada telefon Haji tadi. Ya! Semua yang diperlukan utk melesapkan kredit selaju 50sen sesaat berada disitu! Fring, Facebook, Opera, Nimbuzz, Google Maps, YouTube dan banyak lagi dengan SEMUANYA disambungkan secara lalai pada ‘Maxis 3G Internet’. Hehe.. Mana tak menggelabah si Haji tu!
Inilah yang dinamakan ‘penyakit smartphone’. Ia semakin menular dalam masyarakat kita tanpa sedar sehingga boleh menyebabkan anda pokai tak tentu fasal. Dan artikel ini menjawab mengapa tragedi ini berlaku dan betapa bijak & untungnya anda memilih Symbian selaku telefon pintar anda!
“Desktops are all about productivity, tablets about entertainment and smartphones about socializing”.. didapatkan dari Twitter. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan mari kita memahami dahulu konsep ‘sosial’ pada telefon pintar.
Sebelum kita berbahas tentang ‘smartphone dan kredit (pulsa)’ mari kita meninjau kehidupan ‘tenang dan aman’ pemilik telefon pintar pada sekitar 2003-2005 dahulu. Ketika itu telefon Symbian mendominasi dunia dan Telco (Celcom, Maxis & Digi) tidak dapat ‘mencengkam’ poket anda dengan tawaran ‘data-online’ dan langganan 2 tahun talian seperti sekarang.
Telefon seperti Sony Ericsson p910, Nokia N70, 3230 dan 9500 Communicator bebas digunakan tanpa ‘ikatan’ kontrak selama 2 tahun. Setiap ‘smartphone’ yang saya nyatakan bebas di beli dari mana-mana kedai dan kalaupun anda memerlukan sambungan data – maka terus menuju ke restoran wifi berdekatan atau terus menggunakan ‘Edge/Gprs’ tanpa banyak masalah.
Tetapi, semenjak tahun 2008, telco berlumba-lumba untuk mendapatkan ‘hak’ untuk menjual ‘smartphone’ dari 3 kem utama iaitu – Apple iPhone, BlackBerry dan yang terbaharu Android. Pelik bin ajaib, bagaikan kerbau dicucuk hidung, manusia Malaysia terus ke Telco masing-masing untuk ‘menandatangan’ perjanjian ‘post-pay’ siap dengan data 3G selama 2 tahun (lebihkurang Rm 250 sebulan atau bersamaan dengan Rm 6,000 ringgit) hanya untuk kelihatan ‘dingin & sejuk-beku’ (cool) dikalangan rakan-taulan masing-masing.
Jadi apakah faktor ‘cool’ (selepas ini akan disebut ‘ais-ais’) yang diperkenalkan oleh telefon pintar zaman ini? Jawapannya ialah – kebolehan integrasi terus 24jam dengan laman jaringan sosial (atau lebih dikenali dengan ‘social networking’) seperti Facebook, Twitter, MySpace, Yahoo Messenger, YouTube dan Email.

Ambil BlackBerry sebagai contoh dan ia sangat cemerlang dengan perkhidmatan ‘BBM’ (BlackBerry Messenger) dan ‘push-email’ yang sangat-sangat diperlukan (betulkah fakta ini?) oleh segerombolan ‘orang korporat’ dan wartawan. Selain itu, integrasi Facebook dan Twitter adalah sangat baik dan efisien pada peranti BlackBerry.
“Saya tidak boleh hidup tanpa menyemak email dan menulis status saya pada Facebook. Mujurlah ada BlackBerry dan ia dapat melayan kemahuan saya dengan mudah” dan selaku kipas-susah-mati Symbian, saya kirakan ayat ini pastilah keluar dari seorang pengguna yang sedang mabuk ataupun baru sahaja terhantuk tiang elektrik.
Baiklah. Senario begini juga sedang berlaku pada pengguna iPhone kerana kemudahan mengirim foto terus ke ‘galeri Facebook’ masing-masing. Juga kemudahan iTunes dan Twitter yang sangat cemerlang pada peranti iPhone sehingga ada yang menidakkan kebolehan Symbian. Ayat seperti “Aku malaslah nak pakai Nokia, susah nak hantar gambar pada Facebook” adalah sangat selalu kedengaran dan ‘buah penamat’ terhadap ayat ini ialah soalan balas saya iaitu “Fuhh.. dahsyatlah telefon kau, cuba pula hantar gambar menggunakan Bluetooth ke telefon aku pulak” dan selalunya serangan balas ini menyebabkan beliau mendapat penyakit ‘keteguran’ sehingga tidak bertegur-sapa dengan saya selama 2 purnama!
Dan dalam 2 bulan akan datang, satu lagi OS yang akan menularkan wabak ‘ais-ais’ dikalangan pengguna Malaysia akan dipopularkan iaitu Android. Sehingga artikel ini dikeluarkan, hanya Maxis sahajalah satu-satunya Telco yang serius untuk memperkenalkan telefon pintar Android di Malaysia. Dan sudah mula ada dikalangan rakan-rakan saya yang bakal membeli sebuah Sony Ericsson X10 tidak lama lagi!
Sebagaimana BlackBerry dan iPhone, Android juga berintegrasi kuat dengan khidmat jaringan sosial dan ditambah lagi dengan kemudahan Google seperti Gmail, Google Maps, Google Docs, YouTube dan banyak lagi!
Baiklah, anda juga mungkin berasa hairan mengapa saya menulis artikel ini sebegini rupa. Adakah teruk sangat gejala khidmat jaringan sosial ini? Atau adakah saya dalam keadaan gelisah dan cemburu dengan peranti OS yang lain? Atau mungkin juga ada pembaca yang sedang merasakan yang saya ini sedang sibuk memerhatikan duit keluar-masuk dari poket orang lain padahal semuanya maklum yang kita berada dalam sebuah negara yang demokratik?
Sebenarnya, pendapat anda salah. Saya sebenarnya sangat mengalu-alukan kehadiran ‘Social Networking’ dan saya juga mengaku pada zaman ini (tahun 2010) seseorang itu tidak akan kelihatan ‘ais-ais’ jika tidak mempunyai akaun Facebook. Dan alangkah bermaknanya jika anda dapat terus menukilkan status anda dalam masa ‘spontan’ dan juga menjadi ‘paparazi’ sekelip mata dengan memindah-naik foto dari telefon pintar terus kepada akaun Facebook anda!
Sebenarnya, pada peranti Symbian, kemudahan jaringan sosial telah lama wujud dan kebanyakkannya jauh lebih baik dari Android, iPhone dan BlackBerry!
Perisian Facebook telah wujud pada Symbian, begitu juga dengan Twitter. Ambil Gravity sebagai contoh – ia merupakan kegilaan saya dan Asri untuk memaparkan aktiviti harian kami pada Twiter! Untuk pengguna Yahoo Messenger – ada Nimbuzz untuk melayan perasaan anda. Fring dan Skype untuk sidang video, Yahoo Mail, Nokia Messaging, Gmail dan Seven untuk ‘push-mail’ dan Opera Mobile untuk melayar web dan memindahkan duit dan membeli kredit panggilan melalui Maybank2u.com.
Ovi Store merupakan tempat paling menarik untuk memindah-turun perisian, nada dering dan permainan. YouTube Mobile, Mobitubia dan Al-Jazeera untuk melayan video, Symella dan SymTorrent untuk P2P dan Escarpod untuk melayan ‘podcast’.
Kepada calon ‘paparazi’ – ShoZu dan Pixelpipe akan mengakibatkan anda popular dalam satu malam, ia membolehkan gambar dihantar selepas di’klik’ terus ke laman Facebook, MySpace, FotoPages dan lain-lain lagi. Juga kemudahan Google Search dan Google Maps turut berada ditangan anda. Perisian Blogger dan WordPress sudah lama berada pada Symbian. Tidak cukup dengan itu? ada perisian multimedia Kinoma Play untuk menikmati multimedia dengan dimensi baru seperti “streaming” audio dan video, radio internet, menikmati video Youtube dan banyak lagi!
Jadi apakah perbezaan secara langsung antara kemudahan ‘social networking’ yang ditawarkan oleh OS lain berbanding Symbian?
Jawapannya, anda TIDAK TERIKAT DENGAN MANA-MANA PELAN TALIAN DAN DATA apabila menggunakan kemudahan jaringan sosial pada telefon Symbian! Dan fakta inilah yang sangat-sangat membanggakan saya!
Anda selaku pembaca dan peminat gajet di Malaysia perlulah bijak dan mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi terhadap diri sendiri. Kita berbalik semula dengan pelan RM 250 sebulan tadi. Terus-terang saya hanya menggunakan MAKSIMA RM 180 sahaja sebulan untuk menikmati ‘talian data 3G berterusan’ dan bil panggilan! Dengan itu, saya jimat RM 70 sebulan (dan jika dikira pada tempoh 2 tahun, ia bersamaan Rm 1,680). Satu kelebihan yang saya nikmati – nama saya tidak akan disenarai-hitamkan oleh Telco kerana saya adalah seorang pengguna ‘Prepaid’ dimana saya membayar dahulu sebelum menggunakan segala macam perkhidmatan ini
Masalahnya, bagaimanakah untuk menggunakan segala macam perkhidmatan ini dengan belanja yang murah seperti yang telah saya nyatakan?
Pertama, RM 80 ringgit diperlukan untuk melanggan ‘talian data 3G’ dengan Celcom. Celcom telah lama memperkenalkan khidmat ‘Weekly-Broadband’ yang memakan kredit RM 20 sahaja selama seminggu. Ini bermakna anda cuma perlukan RM 80 sahaja sebulan untuk terus-menerus melayari internet pada telefon anda. Tidak suka dengan Celcom? ada Digi selaku alternatif dan ia memakan kredit sebanyak Rm 60 ringgit sahaja sebulan untuk data
Kedua, anda dengan mudah boleh mendapatkan semua perisian ‘social-networking’ untuk Symbian DENGAN PERCUMA (Gratis) jika anda memasang ‘Ovi Store’ pada telefon anda. Ataupun, anda boleh cari sendiri dengan Google (pada komputer) dan pindahkan fail pemasangan perisian tersebut kepada telefon anda.
Ketiga, untuk anda terus-menerus berjimat-cermat, HANYA laksanakan kemudahan ‘social-networking’ ini apabila anda berada dalam zon WiFi yang percuma. Ini adalah kemudahan yang paling ulung pada peranti Symbian kerana jika anda setkan penyambungan data secara lalai kepada ‘Always Ask’ – maka ia tidak akan membazirkan kredit (pulsa) anda! Dan kaedah ini boleh menjimatkan anda sebanyak RM 80 sebulan (kerana tidak melanggan perkhidmatan data Celcom) dan kiraan RM 1,680 tadi telah berganda kepada Rm 3,600 dan anda akan lebih kelihatan ‘ais-ais’ berbanding dengan pengguna OS yang lain!
Keempat, anda terus membeli telefon terkini Symbian yang mana ia dilengkapi dengan perisian ‘social-networking’ seperti Samsung i8910 HD, Sony Ericsson Satio, Nokia N97, N97 Mini atau X6. Tetapi, jika anda bertanya kepada saya, saya sangat-sangat mencadangkan Sony Ericsson VIVAZ untuk anda miliki kerana telefon ini diciptakan dengan integrasi yang sangat kuat dengan penyedia khidmat sosial! Bukan saya hendak melambung-lambungkan VIVAZ, tetapi percayalah – setelah 6 hari menggunakan VIVAZ, saya perlu mengakui yang telefon ini sangat cemerlang untuk melayan kemahuan ‘social-networking’ saya! Bayangkanlah, Facebook, YouTube, Twitter, MySpace, FotoPages dan Twitter telah disertakan sekali sebaik sahaja saya menghidupkan telefon ini! Tidakkah ini yang anda mahukan? Tidakkah ini yang sebenar-benarnya dikatakan kelihatan ‘ais-ais’?
Jadi, berbalik kepada masalah Haji tadi, saya kirakan dia mempunyai seorang anak yang bertuah kerana sangat-sangat menghargai kemudahan jaringan sosial pada telefon E71 milik bapanya. Anak seperti ini harus ditunjukkan dan dipupuk dengan nilai-nilai jaringan sosial yang positif supaya dewasa kelak dia akan menjadi seorang pembangun perisian ‘Social-networking’ Symbian yang terkemuka!
Tapi, sepatah kata dari si Haji ini menyebabkan saya patah semangat: “Anakku ni kau tahu, sangat pandai menyuruhku memberi duit kepada kau setiap bulan! Ada sahaja yang ditekan-tekannya dan kau pulak selalu sahaja mengatakan ‘senang aja tu Haji’ dan kemudiannnya kau makan pulak duit saya Rm 5 ke 10 ringgit lagi. Aihh… kenapalah aku boleh berkenalan dengan kau dulu Adli?”
Aduhhh… dalam hati hendak sahaja saya panggil Haji ni ‘Lebai Malang’ atau ‘Haji Bakhil’. Tapi, maklumlah kan, pelanggan.. mesti dibelai dan dijaga dengan baik demi rezeki untuk esok hari. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian membayar cukai pendapatan. Bibir kena selalu senyum 2 sentimeter kiri dan kanan dan kata-kata mestilah manis! Hehehe.
Apa pendapat anda? Ramai juga orang kita yang semakin mengutuk Symbian sekarang ini bukan? Tuliskanlah pandangan anda diruang komentar yang disediakan atau ceritakanlah pengalaman ‘ais-ais’ anda ‘bersosial’ dengan peranti Symbian!
(Nota: saya pernah mengimpikan ‘ON SYMBIAN’ dan hantar kepada 32999 dan seterusnya saya akan menjawab segala soalan anda tentang Symbian. Tetapi.. adakah orang yang akan melanggan perkhidmatan ini? Ha.. Haji, boleh jawab?)
Related posts:
Trackback from your site.
-
yonz
-
Mychelsea2000(Haji zackaria)
-
http://www.symbianku.com/berhati-hati-menggunakan-perkhidmatan-rangkaian-sosial/ Berhati-hati menggunakan perkhidmatan rangkaian sosial « SymbianKu
-
Fazieha196
-
Cengkih78
-
adliayob
-
Cengkih78
-
Reifukaiyukikaze
-
http://twitter.com/alyrds aly ayrd


November 9, 2011: [Naik-Taraf] Opera Mobile 11.5 dan Opera Mini 6.5
November 9, 2011: Produk Symbian-Accenture Yang Akan Datang!
November 5, 2011: UC Browser Pelayar Web Yang Hebat!