logo
31
Jul

SyncLion – Garang Namanya, Hebat Kegunaannya

Written by asri. Posted in Review: Software


1. Sebahagian dari kegunaan penting telefon pada hari ini ialah perkhidmatan pesanan ringkas atau SMS yang juga dipanggil oleh sesetengah orang sebagai “text messages”.

2. Kepentingan SMS tidak dapat dipertikaikan lagi kerana pada hari ini, ia merupakan perkhidmatan data mudah alih yang paling banyak digunakan oleh manusia diseluruh dunia.

3. Evolusi SMS sebagai satu medium berkomunikasi semenjak beberapa tahun kebelakangan ini adalah amat pesat sekali. Ramai yang menggunakannya lebih dari menggunakan panggilan suara.

4. Walaubagaimanapun, salah satu kelemahan yang paling ketara dalam penggunaan SMS adalah ketidakmampuannya untuk dipindahkan ke media yang lain. Maksudnya, SMS adalah terikat dengan jenama telefon mudah alih yang anda gunakan.

5. Sebagai contoh, jika anda menggunakan sebuah telefon biasa (bukan telefon pintar) yang berjenama Samsung dan anda bertukar menggunakan telefon berjenama Motorola, anda tidak mungkin dapat memindahkan kandungan SMS dari Samsung ke Motorola dengan mudah.

6. Ini amat memeningkan kepala pengguna kerana apabila sudah bertahun-tahun menggunakan SMS, terlalu banyak data dan maklumat penting yang disimpan di dalam SMS seperti alamat email, alamat rumah awek yang baru dikenali, alamat laman sesawang facebook awek yang minat anda, nombor awek sebelah rumah, nombor akaun bank tuan tanah kedaung, dan banyak lagi. Pendekata, di dalam SMS itulah biasanya pengguna menyimpan data dan maklumat yang akan digunakan kemudian kerana ia mudah diakses.

7. Jika sekalipun anda menggunakan telefon pintar Symbian dan tidak bergantung langsung kepada komputer riba atau komputer meja, sudah tentu anda juga menyimpan banyak maklumat di dalam SMS anda.

8. Tidak ada cara yang mudah untuk mengeksport kandungan SMS menjadi fail teks biasa yang boleh dibaca di dalam komputer. Anda perlu memasang perisian seperti PsiLoc XSync & GSync atau SMS Diary dalam telefon pintar Symbian untuk mengeluarkan atau mengekstrak intipati data dari SMS ke bentuk fail yang lain.

Apa itu SyncLion?

1. SyncLion adalah sebuah perisian yang dibangunkan oleh pendatang baru dalam dunia perisian Symbian iaitu sebuah syarikat yang menggelarkan diri mereka Trismer Technologies.

2. Secara asasnya, SyncLion akan menghantar segala SMS & MMS di dalam Inbox dan Sentbox ke alamat email yang telah ditetapkan. Ia juga boleh digunakan untuk membuat salinan (backup) senarai kenalan (Contacts) dan juga nota (Notes).

3. Pada ketika ini, SyncLion boleh digunakan untuk telefon pintar Symbian S60 3rd Edition dan Symbian^1 yang berjenama Nokia sahaja kerana fail pemasangannya (SIS) hanya boleh dipindahturun dari kedai perisian Ovi Store.

4. Ia menggunakan protokol IMAP (Internet Message Access Protocol) untuk menghantar dan menyamaratakan data dari telefon pintar Symbian ke server email yang anda gunakan.

5. Ini bermakna, untuk menggunakan SyncLion, disamping telefon pintar Symbian, anda juga memerlukan akaun email yang menyokong protokol IMAP seperti Gmail, Ovi Mail dan AOL. Anda juga boleh menggunakan penetapan anda sendiri sekiranya anda menggunakan penyedia perkhidmatan email yang menyokong IMAP. Anda boleh merujuk kepada syarikat penyedia perkhidmatan hosting anda berkenaan sokongan IMAP.

6. Anda hanya perlu menetapkan alamat email serta password serta data yang anda ingin samaratakan. Ia hanya mengambil masa kurang dari 2 minit dan anda boleh terus menggunakannya.

7. Apabila tetapan sudah dimasukkan, SyncLion akan beroperasi secara senyap dan anda boleh menyaramatakan data secara manual atau secara automatik.

8. Secara jujur, ia adalah antara perisian yang paling mudah digunakan kerana penetapannya tidak banyak dan tidak memeningkan.

Menyemak dan membaca data SMS di dalam email

1. Kali pertama anda memulakan proses penyamarataan data (Synching), ia mungkin akan mengambil masa beberapa minit bergantung kepada jumlah data yang ada didalam SMS, MMS, Contacts, dan Notes anda.

2. Proses “Sync” seterusnya adalah lebih cepat. Ini kerana, ia hanya akan memuatnaik data baru yang belum disamaratakan. Contohnya, semenjak SyncLion “Sync” pada jam 2 petang tadi anda menerima 15 SMS baru dan anda ingin “Sync” pada jam 11 malam. Maka pada jam 11 malam, hanya 15 SMS itu sahaja yang akan dihantar ke server email anda.

3. Begitu juga dengan MMS, Contacts dan Notes.

4. Satu perkara penting yang saya ingin tekankan disini ialah bagaimana SyncLion mempersembahkan data SMS di dalam email. Pada pendapat saya, pembangun SyncLion telah memikirkan dengan teliti berkenaan hal ini lantas mereka mengaplikasikan penyelesaian yang amat mudah serta masuk akal.

5. Ini dapat dilihat pada folder-folder (atau label dalam Gmail) yang dicipta oleh SyncLion bagi mengasingkan data yang disamaratakan oleh SyncLion daripada email biasa. Ini amat penting bagi mengelakkan kotak Inbox dalam email daripada menjadi berserabut dan bersepah.

6. Secara automatik, SyncLion akan mencipta 3 folder/label baru untuk ia menyimpan data iaitu :
- Mobile/Messages – menyimpan data SMS dan MMS
- Mobile/Contacts – menyimpan data Contacts
- Mobile/Notes – menyimpan data Notes

7. Data dari SMS akan dipamerkan sama seperti email biasa. Iaitu ia mengandungi teks SMS dan sebahagian perkataan pada awal SMS itu dijadikan sebagai tajuk Email.


klik untuk gambar yang lebih besar

8. Data dari Contacts pula, dipersembahkan dalam bentuk yang lebih menarik kerana ia mengandungi lebih banyak maklumat yang terperinci.


klik untuk gambar yang lebih besar

9. Data dari Notes dipaparkan dengan kandungan satu-satu nota menjadi isi email.

10. Dalam setiap folder/label, senarai kandungan juga dipaparkan seperti senarai email yang masuk ke dalam Inbox.

Kesimpulan

1. Sebenarnya, ini adalah satu kemudahan yang amat berguna kepada pengguna telefon pintar Symbian kerana apabila data SMS dari telefon pintar dapat dipindahkan ke komputer dengan mudah, maka pengguna akan dapat berinteraksi dengan data dengan lebih mesra.

2. Contohnya, anda boleh menyalin dan tampal (copy & paste) nombor-nombor akaun bank yang ada dalam SMS di dalam email anda ke dalam mana-mana laman sesawang atau perisian lain dalam komputer.

3. SyncLion juga memiliki fungsi untuk memadam SMS/MMS dari yang telah dihantar ke email. Ini membuatkan Inbox anda lebih bersih.

4. Ia juga boleh digunakan untuk dijadikan backup apabila berlaku sesuatu yang kurang enak terhadap telefon pintar Symbian anda. SyncLion boleh merestore kembali data Notes dan Contacts ke dalam telefon pintar anda.

5. Dengan fungsi-fungsi yang sebegini hebat, SyncLion sememangnya adalah sebuah perisian WAJIB yang mesti digunakan oleh mereka yang cintakan data mereka dan ingin melihat data mereka berada di mana-mana sahaja tanpa halangan bentuk peranti yang digunaan.

6. Dapatkan SyncLion dari Ovi Store : http://store.ovi.com/content/42289. Ia berharga hanya lebihkurang 4 US Dollar ataupun RM15. Anda boleh mencuba versi demo yang akan bertahan selama 7 hari. Jangan kedekut mengeluarkan belanja yang begitu kecil untuk mendapat manfaat yang amat besar kerana dengan SyncLion, anda akan merasa aman apabila anda melihat segala SMS/MMS, Contacts dan Notes anda kini juga berada di dalam kotak email anda.

Sungguh mudah! Saya Mesti Pilih! :-)

- Asri al-Baker 31 July 2010

Related posts:

Tags: , , , , , , ,

Trackback from your site.

  • http://topsy.com/www.symbianku.com/synclion-garang-namanya-hebat-kegunaannya/?utm_source=pingback&utm_campaign=L2 Tweets that mention SyncLion – Garang Namanya, Hebat Kegunaannya « SymbianKu — Topsy.com

    [...] This post was mentioned on Twitter by asrialbaker, Trismer Technologies. Trismer Technologies said: Another review of SyncLion at http://bit.ly/d2MKDa (in Malay) [...]

  • http://www.symbianku.com/simpan-data-telefon-anda-di-everdroid-mobical-net/ Simpan Data Telefon Anda Di Everdroid (Mobical.net) | SymbianKu

    [...] yang HILANG tanpa boleh dikembalikan. Mungkin ada pembaca bertuah di sini pernah mengikuti artikel ‘SyncLion’ (tulisan Asri al-Baker) atau menyimpan data-data tersebut di GMAIL dan komputer (melalui PC-Suite), anda memang bernasib [...]

About

SymbianKu.Com : Blog Symbian Malaysia adalah satu-satunya blog yang didedikasikan khas untuk pengguna Symbian di Malaysia dan Nusantara serta Alam Melayu - dalam Bahasa Melayu!

Pilih Kategori

Switch to our mobile site