Samsung Symbian, G810 & Assisted GPS.
Nasib kawan saya si Padil sangat baik pada malam itu. Nasib baik dia jauh (lebih kurang 552km dari tempat saya), kalau tidak mahu sahaja saya terus ke rumahnya untuk menyaksikan telefon barunya itu. Dan kalaulah cakapnya tadi tak betul, maka mungkin ada orang yang kena makan kutukan dua-tiga pinggan yang secara semulajadi terhambur keluar dari mulut saya ini.
“Betul geng! Samsung G810 baru, dalam kotak, waranti FMG dan ko tau berapa? Rm 650 shj. Bah, datanglah sini kalu ko indak percaya.” balasnya secara spontan yang menunjukkan macamlah dia tak pernah belajar matematik & geografi masa di sekolah dulu. Nadanya menyakitkan hati sambil disulami ketawa-ketawa ‘eksyen’ sebagai efek khas untuk mempamerkan perasaan bangganya itu.
Baik. Saya perlu bertenang dulu. Saya perlu melihat semula sejarah manalah tau kot-kot si Padil ni pernah ‘kelepet’ saya. Tapi, ternyata dia tidak ada sejarah begitu! Dia seorang kawan yang baik!
“Padil, apa kes telefon tu murah dan ada lagi tak?” tanya saya dengan penuh harapan. Ya.. Siapa tak mahu telefon canggih ooi.. Pulak tu harga murah dan Symbian! Apa yang kurangnya pada G810? Ada GPS, WIFI, skrin 2.6inci dan paling penting kameranya! Kalau kurang pun, cuma duit saya sahajalah.
“Tinggal 1 unit lagi. Kes tersalah letak harga. Kedai lain paling murah Rm 958.” dan jawapan ini menyebabkan saya terus masuk ke Maybank2u untuk memeriksa saki-baki kehidupan! Tidak lama kemudian berlakulah pemindahan dana secara sukarela dan menyebabkan Padil lebih kaya Rm650 berbanding dengan orang lain pada malam itu!
Dua hari kemudian, Samsung G810 telah berada di tangan saya! Percaya atau tidak yang pada hari itu juga telefon tersebut telah berpindah milik ke tangan isteri saya.
“Ini kira I punya hadiah birthday laa kan?” dan saya mengangguk… sebabnya, saya tak sanggup pulak melihat berlakunya aksi ‘muncung panjang sambil berpeluk tubuh’ atau menghadapi risiko dimana saya terpaksa belikan juga Nokia E52 yang telah dijanjikan untuk ‘birthday’nya pada bulan 4 nanti. Inilah yang dikatakan nasib badan.
Pendidikan Moral untuk cerita ini ialah: Pada zaman teknologi ini, gajet seperti telefon Symbian merupakan hadiah terbaik untuk pasangan anda! Macam cerita saya tadi, sekurang-kurangnya saya dah jimat 400 ringgit (sebab kalu E52 dah Rm1050 bang.. Hehehe).
Terima kasih Padil, semoga kau bertambah hensem dan terima kasih kepada tokeh yang tersilap letak harga. Jasamu dikenang!
:: Samsung G810 ::
Telefon ini merupakan yang paling saya kehendaki sejak tahun 2008. Ketika itu harganya Rm1,699 dan enam bulan kemudian harganya telah turun kepada Rm1,499. Pernah satu kali saya ditawarkan harga Rm1,350 jika saya benar-benar mahukannya.
Kelebihan telefon ini terletak pada kameranya. Ia merupakan satu-satunya Symbian yang dilengkapi dengan ‘Optical Zoom’ pada lensa kaca Shneider-Kruznach 5mpix dengan lampu ‘Xenon-Flash’ untuk kejelasan foto setanding kamera-digital kompak. Anda boleh memerhatikan ‘iris’ lensanya mengecil & membesar akibat dari gerakan maju-mundur komponen mekanikalnya apabila butang ‘zoom’ dimainkan. Ia sungguh berbeza dengan lensa ‘digital-zoom’ yang kaku, memecahkan pixel dan mengecilkan saiz gambar – seperti yang terdapat pada kebanyakkan telefon lain.
G810 dilengkapi dengan Symbian 9.2 (S60v3-FP1) dan datang dengan ‘TV-Cable’ siap di dalam kotaknya. Kabel ini selalunya akan menyebabkan saya ‘bergaduh’ dengan anak sulong saya kerana membuatkan telefon ini bertukar menjadi ‘PlayStation’.
Kepada pemilik Nokia N95 8gb (dan lain-lain model yang menyokong TV-Out), kabel yang dibekalkan dalam pakej Samsung G810 adalah serupa dengan model anda. Sama seperti pengalaman saya pada kedua-dua model Nokia N95-8gb & Samsung Innovate, ‘Gallery’ dan video mp4 akan secara automatik membesar (dan melintang) mengikut saiz tv anda (fullscreen) setiap kali ia dimainkan pada perisian ‘Real Player’ pada telefon G810 ini. Dan pengalaman ini berbeza dengan pemain ‘CorePlayer’ yang gagal mengikut saiz skrin televisyen walaupun ia telah disetkan ‘fullscreen’. Perisian lain & Games juga tidak berfungsi dengan ‘fullscreen’.

‘Charger’ yang dibekalkan adalah sama dan sesuai dengan telefon Samsung Innov8, Nokia E52, N86, E72 & N97. Begitu juga dengan USB-Cable yang dibekalkan, ia turut mengecas telefon ini sebaik ia dicucukkan kepada komputer. G810 turut disertakan dengan ‘handsfree-headset’ 3.5mm berkualiti premium.
WLAN (WiFi) pada telefon ini sangat mudah digunakan. Anda cuma masuk ke perisian ‘Web’ dan pilih ‘access-point’ untuk wifi. Kemudian anda terus disambungkan pada internet. Seperti biasa, Opera Mobile, Opera Mini 4.2, Gmail, YouTube, Symella, Symabook dan Tweet S60 akan saya pasangkan ke telefon ini untuk menggantikan ‘Web’ dan ‘IM’.
Skrin G810 yang bersaiz 2.6inci ini sangat terang pada cahaya bilik. Namun ia agak gelap dan silau apabila dipandang dibawah cahaya matahari yang terik. Bateri 1200mAh yang dibekalkan cuma mampu bertahan 18jam sahaja. Ini menyebabkan saya bingung dan bengang kerana, semakin banyak fungsi yang anda gunakan maka semakin lemahlah kuasanya. Pernah satu kali ia bertahan 6jam sahaja! Untuk mendapatkan ketahanan bateri sehingga 48jam, sila ikuti langkah-langkah ini.
:: Network Based Assisted GPS ::
Sebaik saya menerima telefon ini, saya terus memasang Garmin Mobile XT untuk mencuba fungsi (fitur) GPS yang memang sudah terbina (built-in) pada G810. Dan setelah menunggu isyarat satelit selama 22minit, telefon ini gagal mengesan satelit GPS! Mengapa begini? Apa sebenarnya yang telah terjadi? Sedangkan pada kebanyakkan Nokia (5800xm, E66, E52, E71 & N86) perkara ini tak pernah berlaku dan saya sudah melakukan ‘setting’ yang betul. Adakah saya terlupa untuk membasuh tangan sebelum memasang Garmin tadi? Atau rosakkah chip GPS pada unit ini?
Rupa-rupanya saya terlupa untuk mengaktifkan fungsi ‘A-GPS’ yang ada pada telefon ini. Berbeza dengan Nokia, menu A-GPSnya terletak pada bahagian ‘installation’ dan perisian ini dinamakan GPS+.
Untuk menangkap isyarat GPS yang cepat dan sempurna pada semua model-model Samsung Symbian, sila ikuti langkah-langkah ini:
1. Pergi ke Settings-> General-> Positioning dan pilih ‘Positioning Methods’.
2. Tandakan ‘Integrated GPS’ dan ‘Network Based’.
3. Tekan ‘back’ dan pilih ‘Positioning Server’ dan setkan APN (Access-Point)nya.
4. Pilih ‘Access Point’ dan tentukan APN anda. Misalnya jika anda menggunakan MAXIS, pilihlah ‘Maxis 3G Wap’. Jangan ganggu maklumat ‘Server address’.
5. Seterusnya masuk ke menu ‘installation’ dan mulakan GPS+ (Perhatian: langkah-langkah berikutnya tidak akan berguna sekiranya anda tidak mengikuti langkah 3 & 4 tadi).
6. Langkah ini PERLU untuk diaktifkan pada kali yang pertama sahaja. Klik pada ‘Data download’ dan tekan YES untuk memulakan pindahan data satelit yang ‘terkini’ selama 7 hari. Jangan risau tentang ’7 hari’ ini kerana jika suatu hari anda dapati yang ia semakin ‘lembab’ untuk mengesan satelit, barulah anda laksanakan langkah ini lagi. Jika semuanya lancar, anda tidak perlu untuk memindah-turun data setiap 7 hari. Dan perlu diingatkan, langkah ini memakan kredit (pulsa) sebanyak 30-40 sen sahaja.
7. Setelah selesai ‘download’, maka bolehlah anda memulakan perisian Garmin Mobile XT pada Samsung G810 (dan lain-lain model Samsung Symbian) dan dalam masa kurang 2 minit, pasti telefon anda berjaya mengecam dan menarik isyarat satelit GPS dengan baik.
Aturcara A-GPS pada Samsung sangat berbeza dengan Nokia. Bezanya, pada Nokia, setiap kali anda menggunakan Garmin, pasti 20-30 sen kredit anda dipotong kerana untuk mempercepatkan penerimaan isyarat GPS manakala Samsung memakan kredit 30-40 sen SATU KALI sahaja (selama seminggu). Untuk memastikan perkara ini benar, saya telah mengaktifkan Garmin pada mod ‘offline’ dan ia tetap mengesan satelit dan Garmin berfungsi dengan baik. Tanpa kredit!
Apakah yang dikatakan A-GPS ini dan mengapa ia perlu diaktifkan?
Network Based Assisted GPS atau singkatannya ‘A-GPS’ adalah sebuah ‘modul’ pencepat (accelerated-module) untuk menangkap signal satelit GPS dengan bantuan isyarat GSM. Ia terjadi kerana isyarat GPS yang dijanakan oleh satelit secara semulajadi akan melantun-lantun sekitar bangunan kongkrit dan akan diserap oleh objek organik (seperti pokok dan manusia) dan dengan itu ia tidak dapat ‘fokus’ kepada ‘receiver’ yang terdapat pada telefon anda.
Untuk membantu isyarat ini memfokus pada receiver, maka satu lagi perkhidmatan satelit yang dikenali sebagai isyarat GSM diperlukan sebagai bantuan kepada ‘laluan fokus’ isyarat GPS. Apabila kedua-dua isyarat GPS dan GSM berada pada frekuensi yang sama, maka dengan mudah dan cepat perisian Garmin (dan lain-lain perisian GPS) menangkap (atau lock) isyarat satelit GPS. Hanya setelah itu, ‘maps’ (atau peta GPS) akan dipaparkan pada skrin.
Artikel ini sebenarnya menjawab persoalan ‘Mengapa telefon saya gagal mengesan isyarat GPS’ dan jawapannya terletak pada keupayaan A-GPS yang dipasangkan pada telefon anda. Cuma apabila memperkatakan tentang GPS pada telefon Symbian, rata-rata pemiliknya seakan-akan tidak menghargai dan menyedari tentang ‘keajaiban GPS’ pada telefon masing-masing. Buktinya, pada malam tadi, seorang rakan yang menggunakan telefon Nokia 5800XM terkesima dan kagum dengan keupayaan Garmin yang telah saya gunakan disepanjang perjalanan ke suatu lokasi di Daerah Semporna, Sabah (dengan menggunakan Samsung G810 isteri saya).
Dia agak tidak puas hati kerana fungsi GPS tersebut tidak terdapat pada telefon 5800XM sedangkan model itu jauh lebih baru dan ‘touchscreen sepenuhnya’ berbanding G810. ‘Tidak bolehkah kau masukkan Garmin tu pada telefon aku ni Adli?’ katanya dengan raut wajah kritikal seumpama orang kalah dalam pilihanraya. Dengan tenang saya membalas: ‘Kalau ada RM100 mungkin boleh kot?’
Dan malam tadi menyaksikan saya bertambah kaya RM100 berbanding manusia lain disekitar saya. Alangkah ajaibnya Alam Symbian!
Terima kasih Padil kerana telah membeli satu lagi unit G810 untuk sepupu saya pada petang semalam di kedai yang sama. Jangan ko risau kalau kau terbaca artikel ini sebab minggu depan aku poskan CD-KHAS yang mengandungi Garmin (dan cara-cara memasangnya) dan lain-lain perisian Symbian untuk telefon G810 kau pulak. Berusahalah untuk mencari model-model Symbian yang murah-murah lagi untuk masa hadapan.
Related posts:
Trackback from your site.
-
zul_cool
-
shinpeng
-
http://www.i-symbian.com Asri al-Baker
-
http://www.i-symbian.com Asri al-Baker
-
ismaelzaharee
-
adliayob
-
daktaipan181
-
ismaelzaharee
-
adliayob
-
ali
-
ismaelzaharee
-
ismaelzaharee
-
ismaelzaharee
-
ismaelzaharee
-
adliayob
-
ismaelzaharee
-
Mychelsea2000
-
Pajila001
-
Acikecik
-
Anonymous
-
Tamu




November 9, 2011: [Naik-Taraf] Opera Mobile 11.5 dan Opera Mini 6.5
November 9, 2011: Produk Symbian-Accenture Yang Akan Datang!
November 5, 2011: UC Browser Pelayar Web Yang Hebat!