logo
18
Sep

Review – Samsung GT-i8510 Innov8

Written by adliayob. Posted in Prapandang (Reviews)


innov8-review-01

Telefon ini merupakan salah satu idaman saya sejak ia diperkenalkan setahun yang lalu (september 2008). Ini kerana pada waktu itu (dan sehingga setahun kemudian) hanya model ini sahaja, Samsung Innov8 (disebut Enovet dalam lidah Melayu) yang dilengkapi dengan lensa kamera 8 Megapiksel dalam famili Symbian S60-3rd. Nokia hanya memperkenalkan model N86 setahun kemudian (juga dilengkapi dengan lensa 8 Megapixel) dan jika anda ingin mendapatkan telefon Samsung Innov8 ini sekarang, saya kira kurang berbaloi dan saya mengesyorkan Nokia N86 kepada anda. Ini kerana N86 lebih terkini dan dilengkapi dengan skrin AMOLED yang jauh lebih jitu, tepat dan terang warnanya dari skrin Innov8.

Samsung Innov8 serentak diperkenalkan di Malaysia dengan Nokia N96 selaku pesaing terdekatnya. Sebelum ini saya telah melaksanakan prapandang N96 (dan mendapat markah Belimeter yang paling kurang iaitu 5/10) dan kini tibalah giliran telefon ini pula.

Telefon ini saya beli dari seorang peminat Blog Symbian Malaysia yang aktif (iaitu Saudara Yusman) dengan harga yang kurang dari harga pasaran. Ini kerana Yusman telah beralih kepada Nokia N86 (dan setakat ini beliau berpuas hati) maka saya pun dengan muka tak malu, terus meminta beliau menjualkan telefon Innov8 ini kepada saya. Terima kasih Yusman! Jadi prapandang kali ini menggunakan telefon terpakai (second-hand) yang telah digunakan selama 6 bulan.

Adakah Samsung Innov8 akan mendapat markah yang lebih tinggi dari Nokia N96 atau sama sahaja? atau mungkin Innov8 merupakan model Symbian S60-3rd yang anda tunggu-tunggu? Bacalah prapandang penuh (yang panjang berjela-jela) dibawah ini. Kepada pemilik Innov8 (8Gb atau 16Gb) saya sarankan supaya membaca prapandang ini kerana terdapat banyak tips yang berguna kepada anda.

innov8-review-02

PRO DAN KONTRA.

Kelebihan Samsung GT-i8510 Innov8

  1. Skrin selebar 2.8 inci yang terang.
  2. Boleh dicas terus dengan USB kabel yang dibekalkan (apabila dicucuk pada komputer).
  3. Butang-butang yang bersaiz besar, diposisikan dengan baik dan mudah dicapai.
  4. Kualiti binaan yang bermutu tinggi berasaskan material logam dan plastik yang padu.
  5. Mekanisma gelungsuran (sliding mechanism) yang sangat licin, responsif dan kukuh. Lebih baik dari Samsung i450 dan Nokia N96.
  6. Sistem Operasi Symbian 9.3 (S60-3rd FP2) yang berasimilasi dengan baik pada hardware telefon. Kesemua perisian dilancarkan dengan cepat tanpa gangguan ‘lagging’ atau ‘loading’. Sistem telefon ini sangat stabil jika dibandingkan dengan Nokia N96. Dalam tempoh seminggu penggunaan, saya tidak pernah mengalami masalah ‘hang’ atau ‘restart’.
  7. Keypad yang selesa, ‘tactile’, responsif dan bercahaya terang yang setanding dengan keypad Samsung i450.
  8. Sokongan  ‘accelerometer’ (Auto Pivot).
  9. D-Pad yang selesa ditekan dan juga berfungsi sebagai ‘optical joystick’ sama seperti anda mengendalikan ‘touchpad’ pada laptop.
  10. ‘Mechanical Shutter’ pada lensa kamera yang secara automatik akan dibuka apabila mod kamera diaktifkan.
  11. Fungsi ‘nightmode’ yang sensitif menyebabkan saya tidak perlu bergantung pada flash kamera untuk merakam foto, walaupun dalam cahaya samar atau pada waktu malam.
  12. Kelengkapan transmisi radio (bluetooth, gsm signal, wlan, gps dan FM) yang baik dan memuaskan hati saya.
  13. Menyokong semua installasi ‘games’ walaupun tidak diciptakan spesifik pada model Symbian Samsung. Contohnya Skyforce Reloaded, Platypus, Pandemonium, Golf Pro Contest 2 dan TumbleWeed.
  14. Menyokong fail video FLV, WMV & Divx secara automatik tanpa perlu memasang codec tambahan.
  15. Penutup belakang (battery cover) yang sangat kukuh mekanismanya dan diperbuat dari logam.
  16. Slot simcard yang praktikal – simcard mudah dipasang atau ditanggalkan.
  17. ‘Boot loading time’ kurang 10 saat dengan ‘ram’ 77.9mb yang boleh digunakan terus selepas proses ‘boot’.
  18. Web browser yang menyokong ‘flash’ dan ‘secure-site’. Saya telah berjaya membeli ‘top-up’ kredit dari maybank2u dengannya.
  19. Disertakan dengan perisian GPS ‘AGIS NAVfone’ dengan lesen (dibekalkan didalam kotak) dan laman web AGIS membekalkan peta percuma (Malaysia Central, Malaysia South dan Singapore).
  20. Sokongan ‘micro-usb’ dan menerima kabel telefon Symbian-Nokia, termasuk ‘TV-Out’ yang dikhaskan untuk N95-8gb.

Kelemahan Samsung Innov8

  1. Secara lalai (default), baterinya cuma mampu bertahan selama 20 jam sahaja walaupun mempunyai kapasiti 1200mAh.
  2. Tidak menyokong pemasangan Python. Ini menyukarkan saya mencuba perisian berasaskan python & menulis python script. Python sangat penting untuk pembangun perisian Symbian.
  3. Tidak menyokong perisian Nokia Mail, Nokia Maps dan OVI (dan semua perisian Symbian yang dikhaskan untuk Nokia).
  4. TV-Out cable tidak disediakan di dalam kotak. Perlu dibeli berasingan.
  5. Screen Brighness yang masih sangat terang walaupun di set paling minima. Ini menyilaukan mata saya sewaktu menatap skrin di dalam bilik sebelum tidur.
  6. Terdapat satu lubang kecil dibelakang skrin (slider) yang menyebabkan kemasukan habuk pada skrin. Lama kelamaan akan mengganggu pandangan anda. Hal ini dibuktikan pada kebanyakkan blog & forum tentang Innov8.
  7. Firmware Update yang terlalu jarang dilancarkan oleh pihak Samsung (lebih-lebih lagi Samsung Mobile Malaysia). Update dikeluarkan mengikut negara atau ‘region’. Firmware terkini adalah versi I8510XEHI5 (unknown) bertarikh Jun 2009 yang dikeluarkan untuk United Kingdom, Belanda dan Jerman.
  8. Tidak dilengkapkan dengan ‘Xenon Flash’, oleh itu mutu foto yang dirakam pada waktu malam (atau cahaya samar) tidak setanding (sebanding) dengan Samsung G810 atau Nokia N82.
  9. Jek audio yang berada di sebelah kiri sisi telefon. Saya lebih selesa jika jek audio ini berada di sebelah atas badan telefon.
  10. Tidak menyokong sebarang perisian ‘Call Recorder’ kerana Samsung telah menyekat fungsi ini untuk setiap model S60nya. Hal ini telah dijelaskan sendiri oleh pihak Samsung Innovator kepada saya melalui email.
  11. Perisian QuickOffice yang tidak menyokong fungsi editing.
  12. ‘Charger’ yang tidak universal. Tidak sama saiz dengan ‘connector’ Samsung i450 walaupun kedua-duanya model Symbian dan masuk pasaran pada tahun 2008.
  13. Cat pada kerangka skrin (logam) yang senang mengelupas (atau hilang warna) dalam tempoh 6 bulan pemakaian, terutama pada bucu-bucunya.
  14. Agak berat, lebar dan besar bagi sesetengah pengguna.
  15. Tiada ‘FM Transmitter’. Saya rasa sepatutnya ia perlu dilengkapkan dalam telefon ini.
  16. Camera ‘lag’ time 0.2 sec (selepas mengetik ‘camera shutter button’).
  17. ‘Zoom Button’ yang terletak di bahagian kiri. Agak janggal untuk menggunakannya ketika merakam foto.
  18. Tidak boleh merakam gambar dari kamera VGA bahagian hadapan.

innov8-review-03

________

ERGONOMIK.

Dimensi telefon ini agar besar dan lebar. Lebih-lebih lagi jika gelungsurnya diaktifkan. Jadi ia kurang selesa dan sesuai untuk pengguna wanita. Saiznya (106.5 x 53.9 x 17.2mm dan berat 136gram) lebihkurang dengan saiz Nokia N96.

Perkara pertama yang menjadi ujikaji saya ialah kualiti gelongsuran telefon ini dan saya sangat berpuas hati dengannya. Ia lancar, tidak tersekat-sekat dan ‘mantap’. Ia jauh lebih baik dari Samsung i450 dan Nokia N96. Skrin telefon ini besar dan terang. Begitu juga dengan kualiti ‘earpiece speaker’ dan mikrofon yang baik.

Keypad dan bebutang kawalannya sangat selesa digunakan. Terdapat 9 ‘softkey’ atau ‘shortcut-key’ yang boleh diaturcara untuk kemudahan anda (2 softkey, 5 D-pad, 2 ‘own short-cut key’ dan 1 media key). Semua ‘shortcut-key’ ini diposisikan dengan baik dan senang dicapai. Saya berpuas hati dengan ‘tactile-feedback’ pada keypad telefon ini dan ia setanding dengan keypad Samsung SGH-i450.

D-Pad telefon ini sangat istimewa kerana ia juga bertindak selaku ‘optical joystick’. Sensitivitinya boleh dikawal (pada settings) dan sangat berguna ketika melayari internet (dengan Browser S60 yang disediakan atau Opera Mini) dan melihat foto yang dirakam (pada galeri). Begitu juga dengan ‘camera button’ dan ‘camera operation button’ (butang pintas untuk foto, video dan galeri) yang kedua-duanya diposisikan di sebelah kanan badan telefon.

‘Accelerometer Control’ (dikenali sebagai Auto-Pivot) pada telefon ini tidak sebaik dan responsif seperti model-model Nokia Symbian seperti N82 dan N95-8Gb. Auto-Pivot tidak berfungsi pada kawasan ‘Menu’ dan juga tidak berfungsi pada kebanyakkan ‘game’ yang telah saya cuba. Mungkin saya perlu mempertingkatkan ‘Firmware’ telefon ini untuk ia berfungsi dengan lebih baik atau mendapatkan versi ‘game’ yang dikhaskan untuk Innov8.

Jek audio (3.5mm), bebutang kawalan bunyi dan micro-usb/charger connector diposisikan disebelah kiri telefon. Manakala slot kad microSD berada disebelah kanan. Seperti Nokia N96, telefon ini juga menyokong kapasiti memory-card sehingga 16Gb. Kawasan atas dan bawah badan telefon ini tidak terdapat apa-apa jek sambungan dan butang kuasa (power-on button) berkongsi dengan butang ‘end-call’.

Pada bahagian belakang telefon terdapat lensa kamera 8.0 Megapiksel yang ditutup rapat oleh ‘mechanical shutter’nya, lampu sorot ‘dual-power LED’, corong speaker  stereo dan penutup bateri. Mekanisma penutup bateri ini sangat kukuh dan senang digunakan. Di bawah bateri terdapat slot SIMcard dan ianya juga sangat kemas dan selesa digunakan.

Aksesori yang dibekalkan didalam kotak ialah charger, kabel USB, ‘headphone’ stereo yang unik (dengan 3 set pelapik telinga), sekeping lesen perisian AGIS NavFONE (GPS – dengan sokongan AUDIO arahan seumur hidup), satu unit bateri dan sekeping CD-ROM (PC-Suite) versi 7.1.34.8.

Secara keseluruhannya telefon ini selesa dalam genggaman dan terasa berat memandangkan ia dibina dengan material logam dan plastik yang bermutu tinggi. Kualiti pembuatannya sangat teliti dan padu (solid).

innov8-review-04

AUDIO DAN VISUAL

Skrin Innov8 bersaiz 2.8 inci dengan paparan 16 juta warna pada teknologi TFT. Ia sangat terang sehingga menyilaukan mata saya untuk menatapnya sebelum tidur. ‘Proximity Sensor’ akan aktif jika anda setkan mod ‘auto’ pada kecerahan skrin. Setakat ini paparan skrin tidak bermasalah walau dalam cahaya terik matahari.

‘Backlight’ pada keypad berwarna putih dan terang apabila marak-menyala. Masalahnya, butang menu, media dan d-pad tidak disediakan lampu.

‘Stereo Speaker’ pada bahagian belakang telefon ini agak kuat. Tetapi tidaklah sekuat Nokia N73 atau Samsung i450. Dengan dilengkapi teknologi DNSe (Digital Natural Sound Engine), bunyi yang dijanakan seakan-akan asli dan tidak memekakkan. Tiada bunyi ‘speaker pecah’ walau tombol bunyi dinaikkan sehingga paras maksima.

Jek audio memberi masalah kepada saya kerana kedudukannya. Saya lebih selesa jika ia berada di bahagian atas telefon. Headphone yang disediakan memang sangat selesa digunakan. Tetapi hairan juga kerana bunyi yang dihasilkan kurang padu jika dibandingkan dengan headphone Samsung i450.

Keseluruhan janaan bunyi Innov8 tidak setanding Samsung i450 atau N91. Mungkin tidak layak dibuat perbandingan kerana i450 dilengkapi dengan chip audio ‘Bang & Olufsen’ dan N91 pun dilengkapkan dengan chip audio bermutu tinggi. Markah audio – 8/10.

Perisian RealPlayer telefon ini menyokong video berformat FLV, Divx/Xvid, Wmv, Ram, Rv, Mp4, 3gp, h.264 dan h.263. Semuanya dimainkan tanpa masalah tersekat-sekat atau ‘hang’. Tidak perlu saya ulas tentang format audio kerana kita sedia maklum Innov8 dinobatkan sebagai telefon media terbaik tahun 2008.

Kabel TV-Out tidak disediakan dalam kotak dan ini mengecewakan saya. Tetapi pelik juga kerana kabel TV-Out N95-8gb boleh digunakan untuk telefon ini! Maka selamatlah poket saya sebab dapat percuma kabel ini dari seorang kawan yang menggunakan N95-8gb.

TEKNOLOGI

Telefon ini dikelaskan sebagai produk ‘high-end’ setaraf Nokia N96, N86 dan E90. Spesifikasinya adalah seperti berikut:

  • Sistem Operasi Symbian versi 9.3 pada platform S60-3rd Edition (Feature Pack 2).
  • 8Gb atau 16Gb internal flash-memory, menyokong kad microSD (TransFlash), sehingga 16GB
  • CPU ARM 11 – 330Mhz  dengan RAM 128 MB SDRAM (dan 256 ROM).
  • Penyambungan microUSB, WLAN b/g, bluetooth 2.0 A2DP, GPS & AGPS, HSDPA 7.2mbps dan DLNA.
  • Teknologi DNSe, accelerometer, optical-joystick, proximity-sensor, usb printing, namecard recognition, sokongan media DIVX dan FLV.
  • Kamera 8.0 Megapixels pada lensa Schneider-Kruiznach dengan UI Samsung-NV Series.
  • Mod rakaman video VGA 30fps dan mod gerak perlahan QVGA 120fps.
  • FM Radio (dengan RDS), sokongan TV-Out, digital frame dan video editor.
  • Lengkap dengan perisian ’3rd-Party’ secara ‘default’ seperti Fring, Google Suite dan lain-lain.
  • Perisian GPS yang tulen, disertakan dengan nombor lesen dengan sokongan peta jalan dan arahan suara ‘turn-by-turn navigation’.
  • GPU PowerVR yang menyokong proses ‘rendering’ games dan media.

innov8-review-05_______

OPERATING SYSTEM DAN PERISIAN

Perkataan pertama terbit dari mulut saya ketika mencuba telefon ini dalam masa 2 jam ialah – STABIL. Ia jauh berbeza dengan pengalaman pertama saya dengan N96. Kepada pemilik N96, saya mohon maaf sebab tidak dapat mengelak untuk membandingkan telefon ini dengan N96. Ini kerana kedua-dua model berharga mahal dan sama spesifikasinya (hampir-hampirlah).

Implementasi Symbian versi 9.3 (platform S60-3rd FP2) pada CPU ARM11 330Mhz, diperhebatkan dengan GPU PowerVR/Open GL (ES) dan disokong dengan RAM 128 memang secocok dan padan sekali. Inilah rahsia kestabilan telefon ini. Bayangkan saya menjanakan 3 games dan 2 perisian ‘berat’ (Skyfire dan Factbook) pun telefon ini tetap beroperasi dengan lancar dan mengizinkan saya menjalankan ‘software’ ke-6 iaitu ‘Dedit’! Prosedur ini pernah saya uji pada N96 dan ia ‘hang’ dan kemudiannya ‘restart’ sendiri.

UI dan janaan arahan di proses dengan pantas dan sangat responsif. Begitu juga dengan refleks kemasukan input dari keypad, kamera dan ‘voice recorder’.

Innov8 didatangkan dengan banyak perisian ‘default’ seperti ShoZu, Google Suite, Yahoo, NavFONE, GyPSii, CNN, Video Editor, Digital Frame, QuickOffice, ZIP Manager, Adobe PDF, Dictionary, Fring, DLNA, dan GPS+. Yang memukau dan mengujakan saya ialah perisian khas untuk rakaman foto dan video – ia sangat baik dan jauh berbeza dengan UI kamera Symbian Nokia. 

Game Pada Innov8.

Samsung I8510 didatangkan dengan 2 permainan ‘full version’ iaitu Asphalt4 (atau Asphalt3) dan Fifa08. Memandangkan Innov8 merupakan pesaing terus kepada N96, ciri ini (game) sengaja diperbesarkan demi menarik minat pembeli. Ini kerana Nokia N96 dilengkapi dengan permainan NGAGE tetapi hanya dibekalkan dengan 1 game penuh (full-version) sahaja.

Berbekalkan ram 128mb dengan GPU (3D graphics PowerVR & OpenGL ES 1.1), telefon ini tidak bermasalah untuk menerima game yang ‘berat’. Saya telah mencuba Global Race, K.O.D.E & Asassin Creed, keputusannya Innov8 berjaya memainkan semuanya dengan lancar, 3D rendering fps (frame-per-second) yang tinggi dan tanpa gangguan ‘hang’ atau ‘restart’. Ini memeranjatkan saya kerana Global Race (versi 3D N95) hanya disasarkan untuk model Nokia ‘high-end’ sahaja! Begitu juga dengan permainan yang tidak boleh dipasang pada Samsung i450 seperti SkyForce Reloaded (dan semua produk InfiniteDreams), Platypus (dan semua produk Astraware) & Golf Pro Contest 2 (dan semua keluaran Mophun) – semuanya berjaya dipasang dan dimainkan. Game ‘TumbleWeed’ yang sangat-sangat memilih model itu pun berjaya dipasang pada telefon ini.

Setakat ini saya tidak mempunyai isu dengan kebolehan Innov8 dalam menjalankan fungsi permainan. Butang kawalan ‘D-Pad’nya juga selesa digunakan. Memang saya akui GPU dengan sokongan OpenGL memberikan impak signifikan dalam kualiti ‘game’ pada telefon bimbit. Cuma satu kelemahan, ‘optical joystick’ tidak berfungsi pada mana-mana game walaupun diaktifkan.

Namun, game yg dikeluarkan spesifik untuk model Nokia seperti SpaceImpact Light, Snakes dan N-Gage 2.0 gagal dipasang pada telefon ini.

Browser, WiFi Dan GPS.

Telefon ini dilengkapi dengan modul WLAN jenis protokol b/g. Jadi ia mudah berhubung dengan kebanyakkan WiFi router yang ada di pasaran semasa. Setakat ini saya tidak mengalami masalah untuk menyambung ke internet dengannya.

Perisian WLAN Wizard tidak disediakan, tetapi pengguna tidak perlu bimbang tentang ini kerana setiap kali anda menggunakan ‘browser’ (samada default browser, Ozone, Skyfire atau Opera Mini), ia akan memaparkan opsyen pilihan ‘search for wlan’ dan mencari ‘access point’ WiFi jika ada. Seterusnya jika terjumpa akses WiFi, ia akan menyambungkan browser telefon ke gerbang internet. Senang kan? Begitu juga jika terdapat ‘password’ pada router, anda cuma masukkan sahaja dan setelah itu anda akan disambungkan ke internet.

Browser ‘web’ yang dibekalkan sangat mengujakan saya! Ia menyokong ‘flash-plugin’ sepenuhnya dan juga mampu melayari ‘secure-site’ dengan baik. Untuk ujikaji, saya telah log-masuk ke akaun Maybank2U dan membeli ‘top-up credit’ untuk talian DiGi. Hasilnya berjaya dan memuaskan (termasuk memaparkan window lain untuk proses TAC). Begitu juga dengan YouTube, perisian RealPlayer berjaya memainkan dan klip video berjaya disimpan (dalam format *.RAM). Browser ini juga memaparkan laman web berformat ‘mobile-view’ dengan baik.

Setakat ini browser popular untuk S60 seperti Ozone, SkyFire (versi 1.1) dan Opera Mini (versi 4.2) tidak bermasalah untuk dipasang pada Samsung Innov8. Namun Skyfire agak lembab (lebih-lebih lagi jika anda membuka 2-3 perisian serentak) kerana menggunakan ram yang tinggi (sekitar 14mb). ‘Video-streaming’ dari YouTube agak lancar dengan SkyFire jika anda mengakses menggunakan WiFi.

Perisian Yahoo dan Google yang dibekalkan tidak mempunyai masalah untuk bersambung dengan WLAN. Begitu juga dengan ShoZu, Gps+, Fring dan Nimbuzz (versi 2). Saya menggunakan Nimbuzz sebagai ‘client’ Yahoo Messenger (YM) dan anda boleh dapatkan perisian ini dengan percuma di Internet.

innov8-review-07

FEATURES (FITUR) DAN BATERI.

Kamera 8MP – Telefon ini memang menjadi idaman sesiapa sahaja kerana poin jualannya mengetengahkan lensa Schneider-Kruznach dengan 8.0 megapixels. Sebelum ini, saya berpengalaman menggunakan N95 (lensa Carl-Zeiss 5 megapixels) tetapi saya mengakui yang kualiti foto Innov8 sangat cantik, tajam (sharp), terang dan menghasilkan warna yang gemilang.

Pengalaman menggunakan kamera pada telefon ini seumpama memegang sebuah kamera digital yang sebenar. Mari kita mulakan dengan cara mengaktifkan kamera dahulu.

Seperti telefon lain, anda cuma tekan ‘camera-button’ di sebelah kanan telefon. Sebelum itu pastikan ‘camera operation button’ berada pada kedudukan kiri sekali iaitu ‘camera’. Sebaik anda mengaktifkan fungsi kamera, ‘Camera Shutter’ akan terbuka secara automatik dan mempamerkan lensa 8 megapikselnya. Begitu juga jika anda keluar dari kamera, lensa tersebut juga akan tertutup secara automatik. Ciri ini tidak terdapat pada lain-lain model Symbian yang saya ketahui.

Untuk merakam foto, tekan butang kamera separuh supaya mekanisma ‘autofokus’nya mengesan objek dan mengunci (lock) sasaran. Setelah itu barulah anda menekan butang kamera sepenuhnya.

Kawalan UI Kamera Innov8 – Ia diciptakan SAMA/SERUPA dengan UI kamera digital Samsung NV-Series siap dengan pengawalan ISO (sehingga 1600), scene-mode, white-balance, panorama-shot (tidak perlu Panoman lagi) dan effects.

Mod Rakaman Dan Hasil Foto – Terdapat banyak mod rakaman seperti Normal Autofocus, Macro Shot, Night Shot, Scene Shot, Face Detection Shot, Panorama Shot dan Effect Shot. Saya tidak akan menghuraikan setiap mod rakaman ini pada artikel kali ini. Sebagai ganti, cuba saksikan sendiri gambar-gambar yang saya rakam di bawah ini:

innov8-review-06

Rakaman Video – Telefon ini membenarkan anda merakam video bersaiz VGA dengan 30 frem sesaat (VGA@30fps). Ia juga boleh merakam video gerak perlahan (slow motion) sehingga 120fps. Namun jika anda mengaktifkan fungsi ini, saiz video dikecilkan kepada QVGA (320×240) sahaja. Setakat ini, saya telah merakam video dalam mod vga dan saya sangat berpuas hati. Fail video rakaman disimpan dalam format mp4 dan memudahkan anda untuk menukarkannya ke VCD. Terdapat juga mod rakaman MMS untuk anda mengepilkan fail tersebut ke email atau mms.

Optical Joystick – Berada di kawasan D-Pad dan aktif pada menu, galeri gambar, web browser dan kebanyakan perisian lain. Boleh menyebabkan kekeliruan dan menggunakan tenaga bateri tinggi. Saya tidak mengaktifkan fungsi ini kerana rasa janggal dan kekok.

Auto Pivot – Tidak aktif pada standby-screen dan kawasan menu. Agak lancar pada kebanyakan perisian. Game yang menyokong accelerometer perlu versi khas Innov8 (untuk dipasang dan untuk berfungsi dengan baik).

Universal microUSB – Ciri ini memang bagus dan anda boleh gunakan kabel Nokia dan kabel ‘tv-out’ N95 8-Gb. Bateri secara automatik akan dicas apabila disambungkan pada komputer. Ia mengambil masa lebih 6 jam untuk cas penuh. Menyokong pemindahan data ‘usb 2.0′.

Memori – RAM 128mb, ROM 256mb, Memori dalaman (C:\) 49mb dan Mass-memory (E:\) 8gb. Status memori ‘C:\’ memang mengecewakan saya. Sepatutnya ia mestilah sebesar 100mb atau lebih. Yang masih kosong (atau longgar) pada telefon saya cuma 18.6mb sahaja setelah saya memasang pelbagai perisian Symbian. Setiap ‘download’ dari browser sediada akan menuju ke ‘c’ dan perlu dipindahkan secara manual ke ‘e’. Ram sangat cekap, Rom (Z:\) sangat besar dan ‘firmware’ baharu bersaiz 210mb (jika di’download’ dari internet). Tidak boleh digodam (hack) sama-sekali. Mass-memory juga baik dan boleh diakses dengan cepat walaupun diisikan data sehingga kapasiti 7gb. Fail video sebesar 1gb pun dicapai dan dimainkan dengan lancar pada perisian CorePlayer 1.3.5.7x.

GPS – Untuk kemudahan GPS, empat perisian dibekalkan untuk Innov8 iaitu GPS+, Agis NavFONE, GyPSii dan Google Maps. NavFONE dibekalkan untuk pasaran Malaysia dan Singapura manakala Route66 untuk lain-lain kawasan. Sebagai alternatif, anda juga boleh memasang Garmin Mobile XT (versi terbaru) untuk pengalaman GPS yang lebih baik. Bagaimanapun, perisian NokiaMAPS tidak dapat dipasangkan kepada telefon ini.

Untuk kelancaran data, anda disaran untuk mengaktifkan GPS+ terlebih dahulu (dan dikenakan caj data) sebelum menggunakan NavFONE atau Route66. GPS+ akan memindah-turun data asas (untuk 7 hari) ke telefon anda. Saya telah memasang peta ‘Malaysia-Central’ yang boleh didapati percuma dari laman web Agis. Proses pengecaman satelit adalah mengikut cuaca dan geografi sesuatu kawasan. GPS telefon ini bukanlah yang terbaik, tetapi memuaskan hati.

Telefon ini juga menyokong Geo-Tagging dan A-GPS. Seperkara yang perlu diingatkan tatkala menggunakan GPS dan WiFi ialah kuasa baterinya akan cepat berkurangan. Ia mampu bertahan selama 4 jam sahaja dalam penggunaan wifi/gps penuh!

Bateri – Telefon ini memang bermasalah dengan baterinya. Pertama, laman web Samsung menyatakan telefon ini menggunakan bateri 1200mAh, tetapi dalam masa sama terdapat laman web Samsung (yang lain) menyatakan kuasa bateri hanya 1000mAh. Kedua, dalam seminggu menggunakannya, bateri Innov8 saya cuma mampu bertahan selama 22jam sahaja (dengan aktiviti harian, 5 keping foto, sejam WiFi, 10 minit Gps, 1 jam video & muzik, 30min games dan 2 jam menaip) berbanding penilaian sepatutnya iaitu 72jam! Tenaganya memang tidak setanding dengan Sony Ericsson W960 saya yang hanya saya caj pada hari ketiga. Walhal bateri w960 cuma berkapasiti 950mAh sahaja. Perkara ini memang tidak boleh dikompromi.

Sepatutnya pada harga premium, ia mesti bertahan sekurang-kurangnya 48jam. Jika anda merujuk kepada web Samsung Innovator, saranan yang disyorkan adalah dengan menaiktaraf firmware telefon. Ketiga, – tetapi firmware dikeluarkan mengikut ‘region’ dan malangnya Samsung Malaysia masih belum melepaskan versi firmware terkini. Hanya terdapat satu cara sahaja iaitu buat sendiri ‘flash-upgrading’ dengan firmware UK. Ia berisiko tinggi dan boleh menyebabkan telefon rosak jika tersilap step. Bayangkan jika anda tinggal di UK, firmware-upgrading adalah percuma di mana-mana pusat servis Samsung! Memang ramai mengakui apabila dimasukkan firmware baru, baterinya mampu bertahan sehingga 3 hari.

BELIMETER SYMBIANKU

belimeter-i8510Semua yang anda perlukan pada sebuah peranti Symbian yang sempurna & lengkap berada pada telefon ini. Cuma kelemahan bateri, harga yang tinggi, tidak menyokong pemasangan perisian Nokia-Symbian, tidak boleh memasang perisian ‘Call Recorder’ dan harga jual-semula yang rendah mengekang sesetengah pembeli untuk memilikinya.

Belimeter Symbianku bukan mengukur nilai kualiti dan kecanggihan telefon, tetapi lebih menjurus kepada nilai-pemilikan (samada berbaloi atau tidak) telefon itu sendiri. Dengan itu, Symbianku memberikan markah 6.5/10 kepada Samsung GT-i8510 Innov8 berdasarkan nisbah harga berbanding ciri-ciri yang disediakan. Tetapi jika harga bukanlah satu faktor untuk anda, silakanlah membeli telefon canggih ini! Anda pasti berpuas hati. Ia jauh lebih baik dari Nokia N96 yang telah saya ‘review’ sebelum ini.

Nota Kepada Pemilik Innov8.

Setakat ini saya telah berjaya memasang perisian rakaman suara ‘Total-Recall’, Python, System-Seven, Core Player, Asgatech Quran v2 (dengan audio), Ozone, Free-iSMS, FE-Explorer, T9Nav, Garmin XT dan SkyeQuickey kepada Samsung Innov8 ini.

Permainan (games) yang diciptakan khas untuk Nokia-Symbian seperti Snakes, SpaceImpact Light (N77), Global Race (N95), N-Gage 2.0 (dan semua game N-Gage), game keluaran InfineDreams (Skyforce, K-Rally), game keluaran Mophun & Astraware juga berjaya dipasangkan pada telefon ini.

Untuk meningkatkan kuasa bateri (ke tahap 2-3 hari), terdapat 10 tips yang perlu diikuti oleh anda. Begitu juga untuk meningkatkan kelancarannya, anda perlu menaiktaraf (update) firmware telefon ini kepada versi yang paling terkini.

Semua panduan, tips, perisian dan prosedur ini boleh anda dapatkan dengan menghantar email (request) kepada saya. Untuk pengguna yang benar-benar serius, semua perkara yang disebutkan ada dijual dalam bentuk CD-Rom khas Samsung Innov8 berharga Rm30.00 dari Symbianku.com.

Related posts:

Tags: , ,

Trackback from your site.

  • http://www.uiqblog.com asri

    1. Terima kasih byk Encik Adli kerana memberikan pendapat yg mantap dlm review Innov8 ni.

    2. Bak kata Amy Search, “Berbaloi baloi…”

    3. Jadi, sapa sapa yg nak beli Innov8, belilah, gerenti tak rugi.

    4. Sapa sapa yg ada N96 atau berkira kira nak beli N96, tak payahlah… Beli je Innov8. Kat lelong.com.my ada 2nd hand. Tak sampai seribu rm.

    5. Saya ulang, berbaloi baloi…

  • zul_cool

    best2 hehe

About

SymbianKu.Com : Blog Symbian Malaysia adalah satu-satunya blog yang didedikasikan khas untuk pengguna Symbian di Malaysia dan Nusantara serta Alam Melayu - dalam Bahasa Melayu!

Pilih Kategori

Switch to our mobile site