logo
11
Jul

Pertemuan dgn LG KS10 dan Nokia 6124 Classic.

Written by adliayob. Posted in Cakap-Cakap Symbian, Prapandang (Reviews)


lgks10

Sebenarnya saya sedang menyiapkan artikel Symbian101 bahagian ke-4 dan ke-5 sekarang. Punyalah susah sampai tahap terpaksa merujuk buku tebal topik komputer yang saya gunakan zaman IPT dahulu. Semuanya kerana ingin menerangkan pasal ‘computer architecture’ kepada anda dalam bahasa yang paling mudah.

Disebabkan telefon Symbian juga merupakan sejenis komputer, maka beberapa perkara asas tentang senibina komputer mesti diterangkan. Tiba-tiba mood bertukar menjadi boring. Ia sama macam lampu ultraman yang secara tiba-tiba bertukar menjadi merah. Jadi, untuk mengelakkan sakit otak akibat boring yang berpanjangan, saya terpaksa berehat sebentar bersama kit-kat dan membelek-belek foto yang pernah saya ambil menggunakan telefon.

Tidak lama kemudian saya terjumpa dgn beberapa foto yang istimewa. Ia adalah dua model Symbian yang tidak pernah di jual di Malaysia iaitu LG KS10 dan Nokia 6124 Classic. KS10 merupakan telefon Symbian pertama dari LG dan 6124 pula dikeluarkan secara ekslusif oleh Vodafone.

KS10 ini saya jumpa di Low Yat Plaza dengan En. Asri pada bulan Mei lepas. Saya cuma diizinkan ambil gambar sahaja kerana telefon tersebut tidak dijual. Sebenarnya telefon tersebut berstatus ‘second-hand’, tetapi tokeh kedai tersebut tidak melekatkan tanda harga. Saya berkali-kali menyuruhnya menjual KS10 kepada saya namun pendirian beliau sangat teguh. Untuk mengelakkan senario bertukar menjadi medan peperangan, maka saya terpaksa berpuas hati apabila tokeh kedai itu bersetuju untuk meminjamkannya untuk tujuan ‘review’.

LG KS10 (atau JOY) pernah menjadi idaman saya suatu ketika dahulu. Telefon ini dipasang dengan Symbian OS versi 9.2 dan menyokong HSPDA. Apa yang menjadi tanda-tanya ialah mengapa LG tidak melancarkan model ini di Malaysia. Mungkin LG berfikir yang ‘orang kita’ masih lagi tak faham tentang ‘OS’. Buktinya, LG KT610 juga tidak mendapat sambutan baik di sini. Lagi satu bukti – ada juga ‘orang kita’ yang menyebut ‘OS’ sebagai ‘os’ (ikut sebutan Mr. Os) dan bukannya ‘Oh Es’.

Kejadian salah sebutan ini berlaku pada minggu lepas. Seorang peminat blog ini telah berjumpa saya dan bertanyakan itu-ini kepada saya. Sambil mengakui yang dia sebagai paling pakar IT dipejabatnya, dengan muka tak bersalah beliau bertanya kepada saya: “Telefon abang tu ada ‘os’ kat dalamnya kan?”. Lama juga saya merenung ke dalam matanya, tapi tiada respon. Mukanya penuh yakin dengan lafaz ‘os’ yang diucapkan sebentar tadi. Mahu jugak saya jawab “Dalam telefon ni tiada filem ‘Mr. Os’ ataupun filem ‘OSsama Laden” tapi tak pula terucap kerana kasihan melihatkan keyakinan beliau.

Saya betulkan sebutan beliau dengan ‘OS’ (Oh Es) dan bukannya ‘os’. Terpinga-pinga juga dia macam orang kena tampar. Itulah serba-sedikit pengalaman saya bila berjumpa dengan ‘peminat’ blog ini. Biasanya mereka tidak menyangka yang saya ini pemilik Blog Symbian Malaysia. Malah ada juga yang secara spontan menyatakan “Betul ker abang ni owner Symbianku sebab muka abang tu tak macam pun ‘Encik Adli’ kat dalam blog tu?”. Maka, perlukah saya potong dan dandan rambut saya dan memakai baju ‘Shah Rukh Khan’ setiap hari? Tidak… perkara itu tidak mungkin berlaku. Bukan setiap hari saya memakai ‘spek hitam’. Dan kalaupun saya memakai ‘spek hitam’, percayalah… tiada sebuah GELAS atau KOLEH pun di tangan saya!

Bercerita tentang Nokia 6124 Classic pula, ia merupakan alternatif kepada Nokia 6120 Classic yang terjual dengan baik di Malaysia. Telefon ini saya jumpa kelmarin (Khamis 9/7/2009) di Hypermarket Servay di Bandar Tawau, Sabah. Memang saya terkejut sangat bila melihat model ini kerana 6124 tidak dikeluarkan untuk pasaran Malaysia. Lebih memeranjatkan bila melihat tanda harganya cuma RM377 sahaja! Telefon ini berstatus ‘second-hand’ dan baru sahaja digunakan satu minggu. Anda tahu berapa harga baru untuk telefon ini? cuma RM458 sahaja.

Kepada sesiapa yang baru berjinak-jinak dengan Symbian atau mengalami defisit dalam perbelanjaan harian, saya mencadangkan telefon ini untuk anda. Ia kecil, dikuasakan dengan Symbian versi 9.2 dan yang paling penting menyokong HSDPA. Ia cukup sesuai dijadikan MODEM (mobile broadband) dan lebih menguntungkan berbanding anda membeli modem HUAWEI atau setaraf dengannya. Saya sempat bertanya kepada jurujual – “Mengapa telefon ini murah?”. Dan dengan sombongnya beliau menjawab “Kurang popular bos”. Rupanya sesebuah model telefon dijual dengan mahal hanya disebabkan kepopularitiannya, bukan fungsi dan OSnya. Pelik kan?

Saya juga sempat menyemak harga 6124 Classic di laman lelong.com.my. Harga yang saya temui juga RM458. Adalah diharapkan jurujual yang memegang stok telefon ini tidak menaikkan harganya selepas membaca artikel ini. Kepada jurujual di Malaysia – percayalah, telefon 6124 ni TAK BEST, TAK CANTIK dan PLASTIK! hehehehe.

Itu sahaja perkongsian maklumat saya untuk hari ini. Dan hingga saat artikel ini ditulis, saya masih lagi tergendala dengan huraian tentang ‘Symbian OS Architecture’ untuk Symbian101 Bahagian 4. Tak tahu lagi bila ia akan siap. Sabar lah ya.

Related posts:

Tags:

Trackback from your site.

  • http://aizam88.wordpress.com zul_cool

    haha lawak2 ada plak encik oss.,

About

SymbianKu.Com : Blog Symbian Malaysia adalah satu-satunya blog yang didedikasikan khas untuk pengguna Symbian di Malaysia dan Nusantara serta Alam Melayu - dalam Bahasa Melayu!

Pilih Kategori

Switch to our mobile site