P2P Pada Symbian S60: SymTorrent Dan Symella.
Kemudahan P2P dan BitTorrent sangat popular pada komputer dan dengan adanya restoran yang menyediakan servis WiFi percuma, ia menggalakkan pertumbuhan PEER (pengguna P2P) di Malaysia dan serentak dengan itu, taukeh-taukeh restoran mampu tersenyum lebar kerana menerima pertumbuhan positif Ringgit Malaysia yang berhelai-helai di dalam poket dan di dalam ‘cash register’ masing-masing. Maklumlah, kalau seseorang itu menggunakan perisian ‘Ares’ atau ‘BearShare’, semestinya akan duduk berjam-jam sambil memerhatikan status pindah-turun fail ke laptop dan memesan lebih minuman dan makanan.
Aktiviti P2P adalah sangat bijak dilakukan sambil pengguna membuat kerja-kerja yang lebih berfaedah. Contohnya, jika anda seorang ketua kumpulan MLM, sebelum memberikan tunjuk-ajar produk dan pelan pemasaran, anda boleh menjanakan terlebih dahulu P2P dan sebaik selesai ‘mesyuarat’ dan memanipulasikan ‘downline’ – fail yang dicari akan selesai dipindah-turunkan ke ‘laptop’ anda. Melakukan dua kerja dalam satu masa ini disebut sebagai ‘multitasking’ dalam terma teknologi maklumat (IT). Bukan sahaja anda mendapat fail yang diidamkan, malah dalam masa sama dapat juga ‘downline’ yang sentiasa bersemangat dan berkobar-kobar untuk menandatangan ‘perjanjian pengedar’ dan memberikan anda lebih keuntungan untuk mendaki piramid yang tinggi itu!
Sesungguhnya menggunakan P2P adalah lebih baik dari ‘download biasa’ (dari server Megaupload, Rapidshare atau Mediafire) kerana ia boleh disambung jika terputus dan boleh bertukar akses internet samada dengan menggunakan WiFi di restoran ataupun akses 3G di rumah dengan modem usb. Tanyalah kepada peminat-peminat P2P di seluruh Malaysia… siapa yang tidak kenal dengan BitTorrent, Morpheus, Bearshare, LimeWire atau Ares! Semuanya bagus-bagus belaka dan mempercepatkan sebaran media (terutama cerita yang berwarna biru itu) terus dari penggiat kepada peminat masing-masing. Ia merancakkan industri hiburan tanahair dan membuatkan nama si pelakon melonjak popular dalam masa satu malam sahaja!
Dan jika anda memiliki telefon Symbian, anda memang bertuah dan nasib anda telahpun tertulis ‘BAIK’ di dahi sejak di loh-mahfuz lagi. Ini kerana dua perisian P2P WAJIB iaitu SymTorrent dan Symella tersedia untuk anda pasang (install) dan anda boleh meneruskan aktiviti yang penuh bermanafaat ini di telefon anda! Fakta yang akan menyebabkan anda melompat lebih tinggi ialah – kedua-dua SymTorrent dan Symella adalah PERCUMA/GRATIS dan boleh dipindah-turun di SINI.
SymTorrent – Versi 1.41
Sebagai contoh, telefon Samsung i8510 Innov8 saya dilengkapi dengan simcard (3G data-plan) Celcom dan juga berkeupayaan WiFi. Setelah sekian lama perisian ini di telefon saya, baru saya perasan yang SymTorrent telahpun dipertingkatkan ke versi 1.41 oleh pengeluarnya. Maka tanpa berlengah lagi, saya terus menyalin fail torrent video kegemaran saya (Naruto Shippuuden – episod 161) dari komputer dan meneruskan aktiviti ‘sedut fail’ video itu di telefon saya.
Berbanding laptop yang besar dan berat, kemudahan SymTorrent pada telefon Symbian memudahkan aktiviti ini dan orang-ramai tidak perlu beratur dibelakang saya lagi. Ia juga tampak ‘bijak’ dan ‘tersembunyi’ dan tidak memaksa saya untuk membuat muka ‘tak bersalah’ apabila berada di khalayak ramai! Dengan itu rahsia peribadi saya terselamat dan maruah saya juga tidak tercemar (maklumlah, jika pencinta animasi seperti saya ‘menyedut’ video Naruto.. maka rakan-rakan saya akan tersenyum sinis dan berpandangan negatif seolah-olah saya telah melakukan kriminal tahap konspirasi tertinggi. Salahkah kalau saya tengok cerita Naruto??).
Untuk memudahkan pemahaman anda mengendalikan SymTorrent, sila perhatikan grafik dibawah ini.
Symella – versi 1.41
Perisian ini merupakan kembar kepada Ares, Limewire dan suku-sakatnya. Dengan Symella, anda boleh mencari (search) dan menyedut (download) apa-apa fail sekalipun sesuka hati anda. Selain itu, anda turut boleh memindah-turun fail seberapa banyak pun dalam satu masa. Yang penting, aktiviti anda tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun sebab anda menggunakan telefon dan bukannya komputer.
Sebagaimana perisian P2P yang lain, ia memerlukan PEER yang ramai untuk menjadi sumber perkongsian fail. Jadi, jika anda terus-menerus mempromosi Symella, maka akan bertambahlah sumber pindah-turun di muka bumi ini. Seperkara yang menarik jika idea ini diterimapakai – lagu-lagu MP3 dan video-video 3GP (lebih-lebih lagi dalam kategori ‘sensor’) akan bercambah dan mudah untuk dicapai oleh pengguna. Semua orang maklum yang media ini lebih banyak disimpan dalam telefon berbanding di komputer.
Buat masa ini, bahan media berbahasa Inggeris lebih banyak dan mudah didapati berbanding dengan bahan Nusantara. Sama macam SymTorrent, setiap bahan yang dipindah-turun boleh disambung kembali jika akses internet anda terputus di tengah jalan.
Untuk pembaca artikel ini yang berstatus ‘artis’, mungkin Symella bakal menjadi musuh utama, tradisi dan semulajadi untuk anda. Jikalau ianya benar-benar berlaku, diharapkan agar anda menarik nafas panjang dan bermeditasi sebentar sambil menerima hakikat yang ini hanya permainan duniawi dan secara logiknya, tiada yang terus kekal dalam dunia fana ini melainkan yang Maha-Pencipta. Banyakkanlah bermuhasabah diri sendiri dan fikirkan bahagian positif Symella ini. Sekurang-kurangnya ia turut mempromosi anda selaku artis dan akan menyebabkan anda lebih dekat dengan peminat.
Untuk memahami dengan lebih jelas tentang Symella, ikutilah upacara pindah-turun lagu ‘Lady-Gagap’ di bawah ini.
Saya tahu yang anda mungkin berkata dalam hati yang artikel ini ‘sudah basi’ kerana anda telahpun lama mengetahui tentang kewujudan Symtorrent dan Symella. Saya pun mengakui hakikat ini tetapi terpaksa juga menerbitkan artikel ini kerana seramai 10 orang rakan-rakan saya (pengguna Symbian) yang telah ditemuramah, mereka langsung tidak pernah mendengar atau mengetahui tentang perisian-perisian ini. Maka untuk mengeluarkan mereka dari lubang gelap kepada kehidupan yang penuh berwarna-warni, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memaparkan dan menyebarkan tentang kebaikkan Symtorrent/Symella di Symbianku.
Kedua-dua SymTorrent dan Symella sesuai untuk S60-3rd dan Symbian^1 (S60-5th).
Jadi bagaimana? Untuk mendapatkan kedua-dua perisian ini, klik di SINI. SymTorrent dan Symella dibangunkan oleh kumpulan yang sama (kumpulan AMORG) dan ia bersifat percuma. Tiada apa lagi yang hendak saya tulis kerana maggi saya sudah kembang dan saya perlu pergi menikmatinya segera! Sekian.
Kepada sesiapa yang tak pernah tahu kewujudan P2P di muka bumi Allah SWT ini, sila KLIK SINI dan sila pastikan SETTING DATA (gprs/edge/3G) di telefon anda berada dalam keadaan sihat wal-afiat.
Related posts:
Tags: S60-3rd, S60-5th, Samsung, Symbian^1
Trackback from your site.
-
Hersen_hersana



November 9, 2011: [Naik-Taraf] Opera Mobile 11.5 dan Opera Mini 6.5
November 9, 2011: Produk Symbian-Accenture Yang Akan Datang!
November 5, 2011: UC Browser Pelayar Web Yang Hebat!