Semasa KLSS yang pertama pada 10 Februari yang lepas, saya telah memberikan sedikit pandangan untuk mencetus kesedaran rakyat Malaysia tentang kewujudan ‘satu makhluk asing’ yang dinamakan OPERATING SYSTEM.

Salah satu kata-kata saya ialah: “Symbian Is Alien!”. Inilah sebenarnya merupakan ‘puaka’ yang sering menyelubungi fikiran kebanyakkan pengguna telefon bimbit diluar sana (sekali lagi saya tuliskan – DILUAR SANA, bermakna bukan saya, Asri atau ANDA yang selalu menghabiskan masa berharga mentela’ah blog Symbian Malaysia ini).

Saya mengenali perkataan ‘OS’ sejak berumur 11 tahun. Ketika itu saya menggunakan DOS (ya.. disket yang boleh bertukar menjadi kipas angin apabila diperlukan!) dan pada tahun 1997 saya telah menggunakan ‘OS’ yang cantik bernama Windows 95. Pada tahun itu juga, saya sedang tergila-gila mencuba OS LINUX dengan perisa RedHat dan SlackWare. Pada tahun 1998 saya telah menggunakan Windows 98 dan membaca sambil cuba memahami satu ‘platform’ yang dinamakan JAVA. Zaman itu dinamakan ‘The DotCom Era’ dan masing-masing cuba mencipta kekayaan dengan INTERNET.

Kalaulah tahun 1998 menjadi kayu ukur manusia Malaysia mengenali perkataan ‘OS’, maka pada tahun ini (2010) telah genap 12 tahun kita ‘dijajah oleh makhluk asing’ ini. Yang menghairankan saya, masih ada lagi masyarakat di luar sana yang masih tidak faham apa yang dikatakan ‘Operating System’! Rata-rata mereka ini bingung dan ‘kosong’ apabila mencuba laptop saya yang dikuasakan dengan OS Ubuntu! Lebih membuntukan lagi apabila mereka mendengar ayat “Symbian itu sebenarnya OS” dari saya! Sebagai bukti tentang hujjah ini, mari kita saksikan ayat-ayat dibawah ini yang sering berlaku dalam hidup saya:

1. ‘Akak menaip pakai Windows!’ (Macammana pulak ya? sepatutnya kalau menaip guna Ms Word laa kan?… pelik…)

2. ‘Aku tak paham laa Adli pakai Windows kat kompiter ko nih!’ (Memang pun bukan Windows.. laptop saya menggunakan Ubuntu. Saya dah cakap dari awal dah…)

3. ‘Blog kau ni tajuk dia Symbianku. Tapi ko tulis pasal telefon. Apa hal?’ (Ya.. inilah ayat kawan-kawan yang menyebabkan dosa saya bertambah kerana setelah tamat ayat itu, maka berhamburlah kata-kata nista dari mulut saya. Astaga…)

4. ‘Kalau pakai kompiter Apple, tak best! Windows dia lain dan susah nak menaip guna kompiter tu!’ (Percayakah anda jika saya katakan yang ayat ini datang dari seorang graduan yang memegang ijazah sarjana muda?)

5. ‘OSS ialah Open Source Software… sepatutnya ceramah ni ditujukan untuk engineer dan bos-bos. Bukan untuk kita yang jadi kerani cabuk ni En. Adli!’ (Uikk? siapa yang selalu buat kerja-kerja menaip di pejabat?)

6. ‘Susah pulak pakai kompiter kat CyberCafe ni Adli! Takder Internet!’ (terus saya ‘double-click’ ikon FIREFOX dan dengan muka tak bersalah membalas “Fuhh! terel laah kau Adli, apsal laa diaorang tukar ikon ‘E’ jadi musang nih? menyusahkan orang betullah!”)

Baiklah, apa sebenarnya yang hendak saya sampaikan pada artikel kali ini?

Bagaimana untuk memberitahu masyarakat yang Symbian itu satu ‘OS’? Susah kan kerja ni? Berapa ramai yang tahu bahawasanya ‘Windows’ merupakan sejenis OS? Dan tahukah masyarakat kita apabila OS Windows diserang VIRUS, maka keseluruhan sistem komputer itu tergendala?

Ok, bagaimana pula hendak memberitahu masyarakat tentang kewujudan sebuah OS bernama Symbian yang hanya boleh digunapakai (atau dipasangkan) kepada telefon pintar sahaja? Apa pula perbezaannya berbanding OS telefon yang lain? Yang lebih penting, apakah hujah anda untuk mengatakan yang Symbian merupakan OS No.1 dan yang terbaik untuk kelas telefon pintar?

Sekarang mari kita teliti beberapa idea untuk menyebabkan masyarakat peka terhadap kewujudan Symbian:

  1. Beritahu kawan-kawan anda tentang kewujudan Blog Symbian Malaysia. (ya.. Saya mengaku point ini akan mempromosi blog ini. Macam ‘masuk bakul angkat sendiri’ pulak kan? Hehe).
  2. Suruh mereka perhatikan ikon ‘About’ pada telefon mereka dan carilah perkataan ‘Symbian’ di situ.
  3. Cuba berusaha untuk mencari telefon Symbian yang bukan jenama Nokia dan demonstrasikannya dengan telefon Symbian Nokia.
  4. Cuba suruh mereka periksa kotak telefon mereka dan carilah logo ‘Symbian’ di situ.
  5. Cuba periksa betul-betul ‘manual-book’ dalam kotak telefon tadi, selak sehelai demi sehelai untuk mencari logo atau perkataan ‘Symbian’.
  6. ‘Sekolahkan’ (atau berikan pengetahuan kepada) penjual-penjual telefon, staff-staff telco, taukeh-taukeh kedai telefon dan remaja-remaja yang meminati telefon bimbit tentang ‘Apakah itu Symbian’ dan minta mereka cetak kesemua model-model telefon Symbian dari Blog ini dan paparkan di kedai telefon masing-masing supaya masyarakat tidak keliru.
  7. Selain itu, anda perlu nyatakan yang OS Symbian bukanlah digunakan secara eksklusif oleh jenama Nokia sahaja. Jenama lain seperti Samsung dan Sony Ericsson juga menggunakannya. Dan beritahu mereka yang MAEMO merupakan sebuah OS yang berbeza dengan Symbian, walaupun ia digunakan oleh Nokia!

Pada sessi Stammtisch (KLSS) yang lalu, kami ada meminta peserta-peserta untuk memberikan pandangan tentang bagaimana untuk mengecam telefon Symbian, memperkenalkan dan mencipta kesedaran (awareness) orang ramai tentang Sistem Operasi Symbian di negara kita. Saya tidak dapat menulis kesemua idea-idea yang telah diberikan oleh mereka, namun 2 idea ini amat menarik untuk dikongsikan bersama anda;

1. Masukkan logo ‘Symbian’ pada ‘boot-loader’ (paparan imej ‘tangan bersalam’ Nokia dan dibawahnya diletakkan logo Symbian) setiap model telefon Symbian ATAU paparkan logo Symbian terlebih dahulu sebelum logo jenama telefon semasa ‘boot-loader’.

2. Letakkan logo ‘Symbian’ di bahagian belakang telefon bimbit untuk mengenalpasti yang telefon tersebut dikuasakan dengan Symbian selaku Sistem Operasinya.

Bagaimana? Apa pandangan anda terhadap kedua-dua idea ini? menarik bukan?

Baiklah, apa pula sumbangan idea anda untuk memastikan yang Symbian akan dikenali di Malaysia? Mungkin idea anda akan mengubah senario dan membuka mata masyarakat tentang kewujudan Symbian. Berikan komen anda tentang permasalahan ini dan tuliskan idea-idea anda di ruangan komen pada artikel ini.

Semoga masa depan Symbian akan terus maju di Malaysia. Dan saya sangat berharap yang dialog dibawah ini tidak akan dikeluarkan lagi oleh sahabat-sahabat saya tentang ‘apa itu Symbian’:

“Adli, macamana kau ubah ‘system’ telefon Samsung ko ni kepada system Nokia? Macam ni lah, ko ambik telefon Sony Ericsson K850i aku ni, ko tolong ubah system dia boleh?” :)

Heheheh.. macamana nak jawab tu?

Related Posts :