logo
05
May

Bahagian 3 – Betulkah Symbian Dah Nak Mampos? Analisa Sistem Operasi Telefon Pintar Selain Symbian

Written by asri. Posted in Cakap-Cakap Symbian


1. Dalam Bahagian 1 dan Bahagian 2, saya telah menganalisa mengenai keadaan yang dihadapi oleh Symbian pada masa ini.

2. Bahagian 3 ini akan membandingkan sistem operasi pintar mudah alih yang ada pada hari ini dengan Symbian dan memberikan sedikit analisa serta pendapat saya berkenaan apa yang berlaku dalam industri ini.

3. Saya tidak akan menamakan semua sistem operasi pintar mudah alih yang ada tetapi saya hanya akan mengambil 2 sahaja yang akan dibincangkan iaitu Android, dan iPhone.

4. Ye betul, ada lagi sistem operasi telefon pintar yang lain seperti Blackberry, WebOS, Maemo, Limo dan sebagainya tetapi saya ada sebab untuk tidak membincangkan mereka kerana :
- Windows Mobile yang sekarang telah dijenamakan semula menjadi Windows Phone 7 Series, kemudian ditukar lagi namanya menjadi Windows Phone 7, dan esok lusa ntah apa lagi nama yang mereka akan gunakan. Bag saya, sistem operasi mudah alih pintar yang dibangunkan oleh Microsoft ini sudah lama mampos. Walaupun Microsoft mencurahkan berbilion-bilion wang ringgit untuk menghidupkannya semula, mereka memerlukan satu keajaiban dan juga nasib serta tuah yang baik untuk mendominasi dunia telefon pintar sebagaimana Windows mendominasi dunia PC. Tetapi, jangan memandang rendah kepada sistem operasi ini kerana selagi Microsoft masih wujud, dan duit mereka masih banyak, meraka akan melakukan apa sahaja untuk bersaing merebut tempat dalam perlumbaan ini.
- Bada OS masih teramat baru dan belum ada satu telefon pun di pasaran yang menggunakan sistem operasi ini. Samsung berusaha keras untuk menarik perhatian pembangun perisian dan pengguna kepada Bada. Masalahnya sekarang, Samsung memiliki terlalu banyak sistem operasi yang perlu diberi perhatian seperti sistem operasinya sendiri yang digunakan dalam telefon biasa, Windows Mobile, Android, Symbian dan sebagainya. Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai Bada.
- WebOS (dari Palm) belum berjaya menerobos pasaran luar selain Amerika. Dari segi teknikal pula, pembangun perisian tidak dapat membangunkan perisian secara native kerana Palm telah merekabentuk sistem operasinya (diambil dari varian Linux) untuk hanya menerima perisian dalam bentuk web runtime, bukan native. Dan semenjak dua-menjak ini, WebOS semakin kurang mendapat perhatian dan ada ura-ura yang mengatakan Palm bakal bertukar kepada Android. Perkembangan terbaru menyaksikan Palm dibeli oleh gergasi ICT Hewlet Packard (HP) dengan harga USD1.2 billion (lebihkurang RM5 billion). Kita tunggu dan lihat.
- Blackberry? Itu hanya sebuah peranti email bergerak. Kualiti panggilan suara hancus!!! Tapi tidak dapat dinafikan bahawa mereka amat pintar memasarkan produk mereka. Ia juga menjadi trend terkini di kalangan pengguna tidak kiralah ahli perniagaan atau remaja. Blackberry dilihat sebagai hip dan stylo dan sesiapa yang membawa Blackberry kehulu-kehilir dikatakan mengikut trend yang terkini. Bagi saya, saya sudah lama menggunakan email dalam peranti mudah alih semenjak zaman Psion, jadi, tak payahlah nak berlagak nak tunjuk Blackberry di hadapan saya.
- Maemo (sekarang MeeGo). Untuk pengetahuan semua, MeeGo bukanlah sebuah sistem operasi telefon pintar, tetapi ia adalah sebuah sistem operasi komputer Linux yang menggunakan antaramuka mesra pengguna dengan memberi penekanan kepada mudah alih. Komputer mudah alih (mobile computer) dan telefon pintar (smartphone) adalah dua perkara yang berbeza. Dan belum banyak peranti yang menggunakan MeeGo pada hari ini.
- Limo… Agak kurang dikenali

5. Siri artikel ini cuba mengupas sedikit demi sedikit mengenai kenyataan-kenyataan media yang menyatakan Symbian sedang menuju ambang kejatuhan dan Symbian tidak layak menduduki tempat teratas sebagai sistem operasi telefon pintar.

6. Apa pun analisa yang dilakukan mengenai perkara ini, ramai yang kurang sedar bahawa satu fakta yang tidak dapat disangkal lagi ialah mengenai pembangunan teknologi yang semakin canggih dan pengguna semakin bertambah “demanding” serta kesedaran mereka kini lebih tinggi untuk mendapatkan produk yang lebih berkualiti.

7. Satu lagi fakta yang tidak dapat ditolak sewenang-wenangnya ialah mengenai keunggulan Symbian sehingga masih lagi mendahului pasaran sebagai sistem operasi pintar yang telah berjaya menguasakan lebih 200 juta telefon pintar di seluruh dunia.

8. Sila baca tulisan ini dengan minda yang terbuka dan sekiranya anda mempunyai kemusykilan, silalah kemukakan dalam ruangan komen DISQUS untuk kita bincangkan bersama.

Android

Nama sebenar beliau ialah Adra, dilahirkan di sebuah kampung yang agak terpencil dan tidak berhubung dengan dunia luar sehinggalah beliau ditemui oleh sepasang suami-isteri yang mandul dan menjadikan beliau sebagai anak angkat. Lantas, untuk kelihatan moden dan mengikut perkembangan semasa, nama beliau ditukar menjadi Android :-P Hahaha!

Sejarah

1. Pada tahun 2005, Google membeli sebuah syarikat kecil yang tidak berapa diketahui umum. Nama syarikat itu ialah Android Inc.

2. Tahun 2007, Google mengumumkan sebuah konsortium yang dipanggil Open Handset Alliance (OHA).

3. Hujung tahun 2008, telefon pintar Android yang pertama dikeluarkan untuk kegunaan umum iaitu G1 (Google 1).

4. Hujung tahun 2010, dijangkakan, akan ada lebihkurang 30 peranti pintar yang menggunakan Android diumumkan.

5. Antara telefon pintar Android yang telah diumumkan ialah Motorola Droid/Milestone, Sony Ericsson Xperia X10, dan Google Nexus One.

Kelebihan

1. Integrasi kukuh dengan perkhidmatan Google seperti Gmail, Google Maps, Google Calendar dan sebagainya.

2. Android Market, untuk mendapatkan perisian dengan mudah

3. Sokongan komuniti pembangun perisian yang besar kerana Android ialah sebuah sistem operasi sumber terbuka (Open Source)

4. Sokongan pengeluar-pengeluar telefon yang besar seperti HTC, Dell, Acer, Sony Ericsson, Samsung, Motorola

5. Faktor Google. Jangan memandang rendah kepada gergasi ICT ini kerana disamping memiliki wang tunai dan aset yang bernilai berbilion ringgit, Google memiliki aset modal insan yang hebat dan genius.

Kekurangan

1. Perisian hanya boleh dibina untuk dijalankan di dalam persekitaran “Dalvik virtual machine” iaitu sebuah persekitaran Java. Bukan native

2. Perpecahan (segmentation), ada terlalu banyak perisa Android yang berbeza-beza diantara satu pengeluar dengan pengeluar yang lain terutama dari segi plugin antaramukanya. HTC ada Sense UI, Samsung ada TouchWiz, Sony Ericsson ada MediaFlo.

3. Android Market kurang dipromosikan dan kurang mendapat liputan media buat masa ini.

4. Membuat dan mengeluarkan sistem operasi pintar mudah alih bukanlah sebuah kerja mudah. Android masih perlu belajar dan ia masih belum matang.

5. Penerimaan pembeli agak kurang memberangsangkan (buat masa ini) kerana tidak semua tempat ada menjual telefon pintar Android

Analisa

Sejarah telah menukilkan bahawa Android BUKANLAH dibina dari asas oleh Google. Tetapi Google memiliki sesuatu yang tidak banyak dimiliki oleh pihak lain iaitu WANG yang banyak. Selain daripada Android Inc, antara pihak lain yang telah membangunkan Android ialah The Astonishing Tribe (TAT), sebuah syarikat yang berpusat di Sweden yang memiliki kepakaran membangunkan antaramuka (user interface). Ramai yang memuji Android sehingga mengatakan ia bakal mendominasi dan menakluk dunia!!! Tetapi kebanyakan pujian itu datangnya dari media yang berpaksikan Amerika.

Di Eropah contohnya, baru-baru ini sebuah kenyataan telah dikeluarkan yang menyatakan jualan telefon pintar Android agak kurang memberangsangkan (baca : jualan lembab) berbanding telefon pintar Symbian.

Walaupun Google mencuba sedaya upaya untuk membawa Android ke satu dimensi baru, hakikat yan tidak dapat dinafikan ialah perkara ini akan memakan masa yang lama dan dalam keadaan pasaran serta ekonomi yang kurang menentu pada ketika ini, pengguna akan berfikir beberapa kali untuk menggunakan peranti mudah alih yang harganya tidak menepati poket mereka.

Tidak semua orang mahukan telefon pintar. Lebih ramai yang masih mahu menggunakan telefon biasa. Android, dengan segala kecanggihannya sebagai sebuah sistem operasi, tidak akan mampu menarik minat pengguna biasa sekiranya ia tidak kelihatan seperti sebuah telefon biasa.

Pendapat saya

Android masih belum mampu menggugat Symbian sebagai sebuah sistem operasi telefon pintar walaupun dibelakang Android ada gergasi besar iaitu Google dan nama-nama besar dunia ICT yang lain. Ini kerana, Android, pada pendapat saya, adalah “indah khabar dari rupa”. Sama seperti kebanyakan perkara yang datang dari Lembah Silikon Amerika. Sekiranya Android memang betul-betul bagus dan mampu menakluk dunia serta telah membunuh Symbian, blog ini tidak akan wujud lagi dan anda akan membaca sebuah blog yang bernama Androidku.Com :-)

Kalaupun Android akan menjadi sebuah sistem operasi yang menakluk dunia, ia akan berlaku paling cepat pun 5 tahun dari sekarang. Dalam masa 5 tahun, banyak perkara boleh berlaku dalam dunia telekomunikasi mudah alih.

iPhone

Apabila Steve Jobs kembali kepada Apple pada tahun 1997, antara perkara pertama yang dilakukannya ialah menamatkan produk Apple PDA Newton dan segala perkara yang berkaitan dengannya.

Lagenda menyatakan bahawa Steve Jobs sendiri mengetuai pasukan yang membangunkan iPhone selama beberapa tahun hinggalah ia dilancarkan secara rasmi pada tahun 2007. Segala rahsia mengenai iPhone tidak dapat dikesan oleh pihak lain sebelum pengumuman rasminya. Pasukan yang bekerja membangunkan iPhone dikenakan sekatan yang hebat seperti – tidak dibenarkan bercakap mengenai iPhone hatta dengan keluarga. Sekiranya maklumat bocor, akan dibuang kerja serta tindakan undang-undang yang menakutkan.

Adakah iPhone, yang dipanggil “Jesus Phone” oleh sesetengah pihak, betul-betul mampu manakluki dunia, ataupun mampu menggugat kedudukan Symbian sebagai sistem operasi telefon pintar yang paling laris di dunia? Ataupun segala-gala yang kita baca selama ini hanya momokan media supaya kita lebih memandang tinggi kepada iPhone yang pada hakikatnya, hanya sekadar telefon biasa dengan antaramuka menarik, tidak lebih daripada itu?

Sejarah

1. Tahun 2007, iPhone dilancarkan dengan rasminya dan banyak rekod yang telah dipecahkannya.

2. Tahun 2008, App Store pula dilancarkan, membawa dimensi baru dalam mengedarkan perisian kepada pengguna iPhone.

3. Tahun 2009, model terbaru iaitu 3GS, membawakan sistem yang lebih hebat.

4. Pada masa yang sama, Apple mempromosikan AppStore sebagai sebuah pusat sehenti bagi segala bentuk kandungan iPhone.

Kelebihan

1. Faktor Steve Jobs

2. Sistem Operasinya boleh dinaiktaraf kepada yang terbaru.

3. Pengendalian yang mudah dan antaramuka yang dikatakan mendahului persaingannya

4. App Store. Mengubah industri telefon dan telekomunikasi dunia. Apple telah berjaya merevolusikan sistem penghantaran perisian kepada pengguna yang selama ini gagal dijayakan oleh pengeluar lain termasuk Nokia. Malah, mereka juga mengikut langkah Apple dengan memperkenalkan app store masing-masing seperti Ovi Store oleh Nokia, Play Now oleh Sony Ericsson dan App World oleh RIM untuk Blackberry.

Kekurangan

1. Harga yang agak mahal dan tidak mampu dimiliki oleh semua orang.

2. App Store menggunakan sistem kawalan kualiti yang agak keterlaluan sehinggakan ada pembangun perisian yang menarik diri.

3. Sistem operasi yang tertutup (Proprietary OS), Apple tidak melesenkan sistem operasi iPhone kepada pihak lain.

4. Kualiti perisian dalam App Store boleh dipertikaikan.

Analisa

Sewaktu ia mula dilancarkan, iPhone terus mendapat tempat di hati para penganalisa dan bloggers dari Amerika. Ia menjadi “media darling” dalam masa yang singkat.

Pada ketika itu, Apple dengan tegas mencanang bahawa iPhone tidak akan menerima perisian “native“ pihak ketiga kerana sistem operasinya tidak menyokong pembangunan perisian. Hanya perisian web (web-applications) sahaja yang dibenarkan.

Tetapi Apple ternyata menyimpang dari landasan sebenarnya ketika mula-mula dahulu. Apabila ia melancarkan App Store, industri telekomunikasi bagaikan dilanda ribut taufan. Hingga kini, terdapat lebih dari seratus lima puluh ribu perisian yang di edarkan dalam App Store.

Pendapat saya

iPhone, seperti Android, juga masih belum mampu untuk menggugat Symbian walaupun kini ia sedang menjadi kegilaan. Walaubagaimanapun, kehadiran iPhone dalam industri telekomunikasi mudah alih telah berjaya membuka mata para pengeluar telefon untuk mencipta produk yang lebih hebat. Ia membawa kepada persaingan yang sihat.

Sebagai contoh, iPhone telah memperkenalkan kepada dunia bahawa teknologi skrin sentuh boleh menjadi menarik dan mudah digunakan tanpa perlu menggunakan stylus. Antaramuka iPhone sememangnya menjadi satu tamparan hebat kepada pengeluar telefon yang lain membuatkan mereka juga berlumba-lumba mengeluarkan versi antaramuka skrin sentuh sendiri untuk cuba memberi saingan kepada iPhone.

Pada masa yang sama, ternyata Apple tidak begitu konsisten dalam membangunkan sistem operasi iPhone dengan berdolak dalik dan agak kabur dalam menjadikannya relevan dengan perkembangan terkini. Sebagai contoh, Apple pernah membuat kenyataan bahawa iPhone tidak akan menyokong “multitasking” kerana ia akan membuat bateri habis lebih cepat dan pengurusan memori RAM menjadai tidak effisien. Tetapi dalam bulan Februari 2010, Steve Jobs sendiri mengumumkan bahawa “multitasking” akan disertakan dalam iPhone OS version 4.0. Jadi, tidakkah itu berlawanan dengan kenyataan sebelum ini?

Satu lagi contoh, ada beberapa buah perisian yang ditolak dari diedarkan dalam AppStore dengan alasan yang kurang jelas. Malahan, Apple begitu berkeras untuk tidak membenarkan perisian pihak ketiga yang memiliki fungsi lebihkurang sama dengan perisian binadalam, diedarkan dalam AppStore. Tetapi baru-baru ini juga, Apple membenarkan Opera Mini untuk memasuki AppStore. Bukankah Opera Mini memiliki fungsi yang sama dengan Safari Mobile iaitu untuk melayar internet?

Walaubagaimanapun, faktor Apple tidak dapat disangkal atau diketepikan begitu sahaja dan kebijaksanaan mereka untuk memasarkan iPhone telah menunjukkan kepada dunia bahawa rekabentuk yang menarik dan sistem yang amat mudah digunakan juga menjadi faktor untuk mempengaruhi pembeli.

Kesimpulan

Saya memang seorang peminat kipas-susah-mati Symbian semenjak dari dahulu. Saya memang mempertahankan Symbian sekiranya ada pihak-pihak yang mempertikaikannya dan saya rasa bangga kerana walaupun tidak ada sesiapa yang mengiktiraf kerja-kerja saya yang berkaitan dengan Symbian selama ini, saya puas kerana telah bertahun-tahun dalam bidang ini dan terlalu banyak ilmu, serta pengalaman manis yang saya kutip.

Ramai yang mengatakan Symbian sudah mampos semenjak ia mula diperkenakan kerana tiada siapa yang percaya dengan sistem operasi pintar buatan Eropah ini. Hakikatnya, sudah 10 tahun Symbian menduduki carta teratas dalam rangkaian edaran telefon pintar di seluruh dunia.

Symbian telah mengalami banyak perubahan dan sekarang ini, ia sudah menjadi sistem operasi sumber terbuka pula (open source). Kemungkinan-kemungkinan yang amat banyak dan tidak terbatas akan berlaku dalam Symbian. Masa yang akan menentukan.

Tepuk dada, tanya selera…

- Asri al-Baker

Related posts:

Tags: , , , ,

Trackback from your site.

  • izam

    Salam Tuan Asri,

    Bagus jugak artikel ni, ni kesudahan bagi siri ni kan? Ingatkan ada nak masukkan sedikit sebanyak bayangan masa hadapan Symbian vs iPhone vs Android scenario (sebagai kesimpulan), tapi mungkin dah dibincangkan secara langsung atau tidak langsung dalam posting-posting sebelum ni.

    Mungkin dengan wujudnya SDK ni, boleh suatu hari nanti Symbianku mewujudkan pula suatu forum/diskusi berkaitan pembangunan aplikasi Symbian di Malaysia sendiri, bagaimana suatu hari nanti mungkin sumbangan anak watan boleh memberi impak dalam menaikkan lagi kesedaran orang ramai di Malaysia tentang kegunaan telefon pintar secara amnya, dan telefon pintar bersistem operasikan Symbian secara khususnya (terutamanya kelebihannya dan kemesraannya terhadap pengguna).

    Sebelum ini pun Tuan Adli telah menyatakan fakta yang belum terubat, betapa masyarakat disini tidaklah benar-benar mengenali jenis-jenis telefon pintar dimana apa yang menjadi bibit bualan hanyalah jenama dan fitur (nokia kah? apple kah? kamera berapa MP? etc).

    Sekian dahulu royat merapu ambo…

    p/s: bila mau 2nd symbian discussion kat kelantan delights?

  • http://www.i-symbian.com Asri al-Baker

    @Tuan Izam,

    1. W'salam

    2. Bahagian ke-3 ini bukanlah bahagian terakhir. Insya Allah sekiranya ada masa dan kelapangan, Bahagian ke-4 akan menyusul. Topiknya seperti yang Tuan katakan, iaitu masa hadapan sistem operasi pintar mudah alih terutamanya Symbian.

    3. Cerita pasal kesedaran masyarakat ni, bagi aku, Symbianku adalah satu wadah kecil-kecilan. Kami tidak mampu menjadi konglomerat yang mengawal media dan minda masyarakat. Apa yang kami paparkan adalah satu usaha untuk lebih memandaikan lagi masyarakat kita terutamanya orang Melayu. Masalahnya sekarang, MASYARAKAT KITA TERUTAMANYA ORANG MELAYU MALAS MEMBACA.

    4. Usaha kecil yang Symbianku lakukan tidak akan berhenti selagi hayat dikandung badan dan Insya Allah sekiranya ada keizinan dari Allah Sang Hyang Tunggal Yang Maha Esa, Symbianku ingin juga memberi pendapat dan kesedaran kepada masyarakat agar lebih berilmu dan pandai membuat keputusan dalam menentukan apa yang terbaik untuk mereka dalam dunia telekomunikasi masa hadapan.

    5. Berkenaan KL Symbian Stammtisch, hajat di hati memang nak buat susulan tetapi kali ini akan lebih formal dan lebih besar. Mungkin siap dengan bengkel pembangunan Qt. Tetapi cabaran dan halangan untuk menguruskan pertemuan yang hebat sebegitu bukanlah kecil. Terutamanya dari segi kewangan dan tenaga yang perlu dilampiaskan. Kalau Tuan Izam ada sumber kewangan yang boleh dihadiahkan untuk menguruskan KLSS seterusnya, sila hubungi saya atau Adli.

    Terima kasih atas sokongan Tuan

    - Asri al-Baker

  • izam

    Salam Tuan Asri & Tuan Adli,

    Artikel penamat yang menarik, tapi ingatkan mungkin ada kesimpulan sedikit sebanyak what the future would hold in the battle of the smartphones antara ketiga-tiga OS yang disebutkan diatas. Mungkin dari segi, fitur apa lagi yang akan diplagiat oleh pesaing-pesaing symbian.

    Apa yang menarik disini ialah, apabila SDK sudah dilancarkan, mungkin sudah sampai masanya dikalangan peminat Symbian di Malaysia mengambil kesempatan berbincang tentang pembangunan aplikasi Symbian di Symbianku. Sekurang-kurangnya senarai hajat(wish list) aplikasi yang mungkin patut cuba dibangunkan oleh peminat Symbian di Malaysia (khususnya followers of Symbianku) yang seterusnya dibangunkan dengan bersungguh. Atau perbincangan tentang asas pembangunannya dengan menyediakan contoh-contoh (contoh biasa dlm pengaturcaraan ialah 'hello world!')

    Ya, mungkin semacam suatu 'tall order', tapi mungkin sesuatu yang tidak mustahil dilakukan, hanya dipisahkan oleh 1001 jalan atau 1001 alasan. Bertatih, hasilkan aplikasi yang nampak cikai, tapi perlahan-lahan dikemaskini menjadi baik.

    Symbian foundation akan terus menambahbaik Symbian (itu sudah pasti!), untuk terus menjadi pilihan pengguna. Mungkin pengikut Symbianku (atau pengelolanya) boleh mewujudkan diskusi pembangunan atau aplikasi (menarik/berguna/relevan) Symbian untuk menjadikan Symbian benar dikenali dan diminati di Malaysia!

    abih doh royat merapu ambo….

  • http://www.i-symbian.com Asri al-Baker

    @Izam,

    1. Ini bukan artikel penamat. Insya Allah akan ada lagi susulannya. Mungkin Bahagian 4 penamat, mungkin sampai Bahagian 10 baru nak abis :-) Kita tunggu dan lihat…

    2. Sebenarnya, memang cita-cita kami di Symbianku (Aku dan Adli) untuk mengadakan sessi suaikenal dan bertukar pendapat dengan pihak-pihak yang berminat untuk membangunkan perisian untuk Symbian. Usaha itu dijalankan secara beransur-ansur dan Insya Allah anda akan dapat melihat hasilnya di Symbianku dalam masa yang terdekat. Insya Allah. Aku tak boleh cakap banyak pasal bende ni. Bila dah ready nanti, Adli akan umumkan :-)

    3. Tambahan lagi, Symbianku akan bertambah warna warni dan perisa sekiranya ada lebih banyak isi yang boleh dikongsi. Malangnya, hanya Aku dan Adli yang tertonggeng kesana kesini untuk menguruskan Symbianku. Kalau Adli sibuk, akulah akan jadi filler, kejap lagi bila aku pulak sibuk, Adli akan take over. Kalau kami berdua sibuk… bak dilanggar gerodalah Symbianku jawabnya.

    4. Aku mengalu-alukan sekiranya Tuan Izam sendiri ingin menyumbangkan idea atau tulisan mengenai pengaturcaraan untuk Symbian supaya menjadi bahan bacaan ilmiah dan rujukan kepada mereka yang berminat untuk berjinak-jinak dalam dunia pengaturcaraan Symbian.

    - Asri al-Baker

  • ali

    Artikel yang sangat2 menarik, terima kasih.

About

SymbianKu.Com : Blog Symbian Malaysia adalah satu-satunya blog yang didedikasikan khas untuk pengguna Symbian di Malaysia dan Nusantara serta Alam Melayu - dalam Bahasa Melayu!

Pilih Kategori

Switch to our mobile site