Bahagian 2 – Perisian wajib dalam telefon pintar Symbian S60 saya
1. Dalam Bahagian 1, saya telah berkongsi 10 perisian wajib yang saya gunakan dalam telefon pintar Symbian S60. Sekiranya anda masih belum membacanya, silalah selak ke mukasurat yang berkenaan.
2. Kali ini, saya ingin menyambung artikel tersebut dan membawakan kepada anda 11 perisian yang penting bagi kegunaan saya.
3. Mungkin ada yang anda tidak pernah dengar namanya atau anda tidak meminatinya, tetapi senarai ini adalah senarai yang saya buat berdasarkan kegunaan anda. Anda mungkin memiliki senarai anda sendiri.
4. Sila rujuk Bahagian 1 dalam siri artikel ini untuk melihat nombor 1 hingga 10. Sekarang, kita sambung dengan nombor 11!
________________

11. HanDBase
Kegunaan : Satu-satunya perisian pangkalan data (database) yang masih dibangunkan untuk Symbian
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : USD24.99 (RM100.00)
Laman Sesawang Rasmi : http://www.ddhsoftware.com
Semenjak zaman saya menggunakan PDA Psion lagi, saya suka mengumpul data saya sendiri. Banyak bende yang saya suka simpan contohnya seperti koleksi cerita kegemaran saya, atau koleksi lagu-lagu kesukaan saya dan sebagainya. Untuk Symbian S60 3rd Edition, HanDBase adalah satu-satunya perisian pangkalan data yang masih dibangunkan secara aktif. Ia mumudahkan kerja-kerja saya kerana saya boleh mencipta database baru dan mengedit di dalam telefon pintar S60 saya. Pada masa ini, saya menyimpan beberapa database penting seperti password saya, koleksi cerita yang saya dah tengok, serta beberapa perkara lagi. Mungkin perisian pangkalan data bukan dicipta untuk semua orang tetapi bagi saya, ia amat penting sekali.

12. Best ScreenSnap
Kegunaan : Untuk mengambil gambar skrin telefon pintar Symbian. Amat berguna kepada penulis seperti saya
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : Percuma
Laman Sesawang Rasmi : http://www.smartphoneware.com
Bagi seorang penulis dan blogger seperti saya, mengambil gambar skrin telefon adalah mustahak. Ada banyak perisian yang boleh digunakan untuk menangkap gambar skrin seperti Screenshot oleh Antony Pranata dan juga Best ScreenSnap oleh Smartphoneware. Saya memilih Best ScreenSnap kerana ia percuma, serta saya sudah selesa menggunakannya dan ia menyokong pelbagai format seperti JPG dan BMP.

13. Handy Calendar
Kegunaan : Kalendar alternative untuk Symbian S60 dengan paparan yang lebih menarik
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : USD 29.95 (RM120)
Laman Sesawang Rasmi : http://www.epocware.com
Walaupun semua telefon pintar Symbian sememangnya didatangkan dengan kalendar, tetapi bagi saya, kalendar lalai (default) terlalu ringkas dan tidak menepati kehendak saya. Olehsebab itulah saya memilih Handy Calendar kerana ia memiliki fungsi tambahan yang tidak ada pada kalendar bina dalam Symbian seperti Zoom dan Week View. Handy Calendar juga memaparkan maklumat dengan lebih menarik iaitu saya boleh melihat lebih banyak maklumat pada satu-satu masa. Selain itu, salah satu kekuatan Handy Calendar ialah bahagian memasukkan data yang lebih intuitif dan lebih terperinci.

14. SiC! FTP Client
Kegunaan : Satu-satunya klien FTP untuk Symbian S60. Memudahkan pindahnaik fail ke pelayar (server) dan pindahturun
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : Percuma
Laman Sesawang Rasmi : http://www.sic-software.com
Ini satu lagi perisian yang tidak ada tolok gantinya kerana ia adalah satu-satunya perisian FTP (File Transfer Protocol) yang dibangunkan secara native untuk Symbian S60 3rd Edition. Saya memerlukan perisian FTP kerana saya perlu memindahnaikkan fail ke dalam server bagi kegunaan blog-blog yang saya uruskan seperti Symbianku.com dan i-Symbian.Com. Sekiranya anda tidak perlu menggunakan perisian FTP, maka SiC! FTP ini tidaklah relevan untuk anda tetapi bagi orang-orang yang mengerti kepentingan FTP, ia adalah WAJIB!

15. Best TaskMan
Kegunaan : Perisian pelbagai guna (multi-function tool) untuk meningkatkan keupayaan telefon pintar anda
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : USD 7.95 (RM32)
Laman Sesawang Rasmi : http://www.smartphoneware.com
Ada banyak perisian yang boleh digunakan untuk menguruskan memori rawak (RAM) dalam telefon pintar Symbian S60. Ada Handy Taskman, JBak Taskman, Swiss Manager Pro dan juga Best Taskman. Sudah bertahun-tahun saya menggunakan Best Taskman kerana bagi saya, ia memiliki fungsi-fungsi yang saya perlukan dan ia sangat mudah digunakan. Antaranya ialah Fast-Switcher yang mana saya boleh gunakan untuk melompat dari satu aplikasi ke satu aplikasi yang lain dengan mudah tanpa perlu menekan butang lama-lama. Cuma sekali tekan, dan satu Fast-Switcher window akan dibuka, ia kelihatan seperti panel Alt-Tab dalam kebanyakan sistem operasi desktop seperti Windows XP dan Ubuntu. Selain itu, Best Taskman juga memiliki fungsi untuk melihat proses-proses yang tersembunyi yang tidak dipaparkan dalam mod biasa. Ia juga memaparkan jumlah RAM yang tinggal. Bagi kegunaan saya, Best Taskman amat-amat penting dan WAJIB dipasang dalam setiap telefon pintar Symbian yang saya pegang.

16. SkyeQuiKey
Kegunaan : Mempercepatkan proses melancarkan perisian
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : USD 21.55 (RM88.00)
Laman Sesawang Rasmi : http://www.skyestream.com
Ini adalah antara perisian yang saya anggap sebagai “genius”. Kerana SkyeQuiKey membolehkan saya melancarkan apa saja dengan hanya menaip beberapa huruf di “Standby Screen”, tidak perlu masuk ke dalam “Application Launcher”. Ia boleh digunakan untuk melancarkan perisian, ataupun untuk mengakses setting-setting dengan pantas seperti untuk menukar tema ataupun mengubah setting di dalam “Control Panel”. Tanpa SkyeQuiKey, saya akan merasa telefon Symbian yang saya guna itu tidak lengkap.

17. Flying Money Manager
Kegunaan : Perisian yang komprehensif untuk menjaga dan memantau akaun kewangan, simpanan dan perbelanjaan
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : USD 29.95 (RM120)
Laman Sesawang Rasmi : http://www.flyingsoft.com
Aha… Ini salah satu perisian yang hanya ada satu sahaja dalam dunia Symbian. Kalau ada perisian lain yang melibatkan urusan kewangan pun, yang lain cuma boleh digunakan untuk merekodkan perbelanjaan (expenses) sahaja. Bukan untuk menguruskan kewangan secara total. Flying Money Manager memiliki banyak fungsi. Ia boleh digunakan untuk merekodkan perbelanjaan harian, simpanan, pelaburan, menguruskan buku cheque dan sebagainya. Bagi anda yang mementingkan pengurusan kewangan, ini adalah perisian untuk anda. Ia mudah digunakan dan sangat fleksibel. Anda boleh mencipta jenis-jenis perbelanjaan seperti Belanja Rumah, Belanja Dapur, Belanja Pejabat, Pelanja Peribadi dan sebagainya. Anda juga boleh menokok tambah matawang. Dan untuk melengkapkan lagi perisian ini, ia didatangkan dengan fungsi backup dan juga eksport yang boleh digunakan untuk berkongsi data dengan komputer.

18. SMSDiary
Kegunaan : Menyimpan SMS keluar dan masuk sebagai fail HTML untuk simpanan
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : USD 9.00 (RM36.00)
Laman Sesawang Rasmi : http://www.smsdiary.eu
Saya menerima beratus-ratus SMS dalam masa beberapa hari, kadang-kadang, 200 SMS dalam 2 hari. Jadi, untuk merekodkan segala SMS yang saya terima, saya gunakan perisian SMSDiary ini. Ia mudah digunakan dan ia akan menukarkan segala SMS menjadi fail HTML yang boleh disimpan di dalam komputer untuk rujukan di kemudian hari.

19. Free-iSMS
Kegunaan : Memaparkan SMS masuk dan keluar dalam bentuk perbualan (chat-style)
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : Percuma
Laman Sesawang Rasmi : http://www.junnikokuki.com/ (Malangnya laman sesawang ini sudah berbulan-bulan berada dalam keadaan penyelenggaraan)
Pada pendapat saya, sepatutnya paparan SMS dalam bentuk perbualan sudah dimasukkan di dalam sistem Symbian S60 itu sendiri. Ini kerana, sistem pengoperasian yang lain seperti iPhone, Maemo5 dan Android, fungsi ini sudah dimasukkan secara lalai. Jangankan sistem operasi canggih, telefon dungu seperti Nokia 1100 pun ada fungsi SMS bualan (chat). Free-iSMS bukan sahaja percuma, malah ia juga memiliki fungsi tambahan seperti mengeksport SMS ke dalam format TXT, penghantaran SMS berjadual dan pemaparan secara otomatik apabila SMS diterima. Walaubagaimanapun, perisian ini memerlukan anda untuk menandantanganinya secara digital sebelum memasangnya.

20. AutoInstaller
Kegunaan : Untuk memasang banyak perisian sekaligus, secara otomatik
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : Percuma (anda juga boleh menderma untuk mendapatkan versi yang sudah ditandatangani secara digital)
Laman Sesawang Rasmi : http://www.thinkchange.cn
Perisian ni telah menyelesaikan banyak masalah terutamanya kepada orang yang suka memasang banyak perisian dalam telefon pintar Symbian mereka seperti saya. Ini kerana saya selalunya melakukan proses pembersihan (dengan melakukan proses format yang memadam semua data) bagi mengoptimumkan telefon yang saya gunakan. Dengan perisian AutoInstaller ini, proses memasang banyak perisian sekaligus menjadi begitu mudah. Anda hanya perlu membuat satu folder baru didalam kad memori, namakan folder itu “Thinkchange”, kemudian, buat 2 folder didalam folder “Thinkchange” itu, namakan folder yang pertama sebagai “C” dan folder yang kedua sebagai “E”. Selepas itu, campakkan segala fail .SIS dan .SISX ke dalam folder-folder tersebut mengikut destinasi yang anda inginkan. Sekiranya anda ingin memasang perisian tertentu ke dalam “phone memory”, maka masukkan fail .SIS dan .SISX ke dalam folder “C” dan jika sekiranya anda ingin memasang perisian tertentu ke dalam “memory card”, maka anda perlu masukkan fail .SIS dan SISX ke dalam folder “E”. Selepas itu, melalui perisian AutoInstaller, anda tekan aje pilihan “Start Install” dan lihatlah bagaimana satu keajaiban berlaku di hadapan mata anda!

21. JoikuSpot Premium
Kegunaan : Menjadikan telefon pintar Symbian S60 sebagai WiFi router untuk berkongsi internet
Jenis Pengaturcaraan : C++
Harga : EUR 25.00 (RM125) Pada waktu artikel ini ditulis (Disember 2009), ia sedang dijual dalam harga murah iaitu EUR 9 (RM45). Sangant berbaloi…
Laman Sesawang Rasmi : http://www.joikuspot.com
Ini juga salah satu perisian yang amat hebat untuk Symbian. Pengaturcaranya memang genius. Apa yang JoikuSpot lakukan tidak dapat dilakukan oleh perisian lain iaitu menjadikan telefon pintar Symbian S60 anda sebagai sebuah pintu gerbang internet tanpa wayar untuk berkongsi capaian internet. Anda cuma perlu memasang perisian ini dan hidupkannya, kemudian, anda hanya perlu menghubungkan laptop/komputer anda melalui WiFi ke telefon pintar Symbian S60 anda dan voila!!! Internet semudah ABC. Perisian ini amat berguna sekiranya anda banyak berjalan jauh kesana sini dan anda perlu melanggan plan internet tanpa had dari pembekal rangkaian anda. Saya amat merekomenkan perisian ini jika anda selalu ingin menggunakan internet dari laptop dan tidak ingin membelanjakan duit untuk membeli 3G-USB-modem. Untuk mereka yang tidak ingin menggunakan versi Premium, anda boleh juga menggunakan JoikuSpot yang percuma tetapi fungsinya agak terhad
————–
Itulah dia, 21 perisian wajib yang saya gunakan setiap hari dan saya tidak boleh hidup tanpa perisian-perisian ini. Jika anda memiliki perisian kegemaran anda, sila kongsikan bersama saya disini.
Ada perisian dalam artikel ini yang kompatibel dengan S60 5th Edition, ada yang hanya untuk S60 3rd Edition. Jadi, sila lawati laman sesawang berkaitan dan baca dengan lebih lanjut.
Soalan : Kenapa 21 perisian? Apasal bukan 22 atau 15 atau 10?
Jawapan : Suka hati aku la Laboo… Aku punya pasal la nak letak nombor berapa pun… Sebenarnya, nombor 21 memiliki banyak rahsia tersendiri. Sebagai contoh, 2 + 1 = 3 dan 3 ialah nombor prima yang paling besar. Lagi… Wakakakaka!!!! Lantak ko lah labooo…. aku pun tak tau apa bende yang aku bebelkan ni…
Asri al-Baker, Untuk Symbianku.Com, December 2009
Related posts:
Tags: LG, Nokia, S60-3rd, Samsung, Sony Ericsson, Symbian, Symbianku
Trackback from your site.
-
amier
-
lyena
-
http://www.i-symbian.com Asri al-Baker
-
http://www.symbianku.com/15-perisian-wajib-untuk-telefon-pintar-symbian1/ 15 Perisian Wajib Untuk Telefon Pintar Symbian^1 « SymbianKu

November 9, 2011: [Naik-Taraf] Opera Mobile 11.5 dan Opera Mini 6.5
November 9, 2011: Produk Symbian-Accenture Yang Akan Datang!
November 5, 2011: UC Browser Pelayar Web Yang Hebat!