Bahagian 1 – Laporan penuh Nokia Connection 2010 di Singapura
Sessi pagi, Isnin 14 Jun 2010
1. Selama 3 hari bermula Ahad (13 hb Jun) hingga Selasa (15 Jun) yang lalu, saya berada di Kota Singa, dengan lebih tepat lagi di Conrad Centennial Singapore, Suntec City, untuk menghadiri sebuah majlis yang dikenali sebagai Nokia Connection 2010.
2. Nokia Connection ialah sebuah acara tahunan yang diadakan oleh Nokia di Singapura. Ini adalah tahun yang ke-10. Kebiasaannya, ia diadakan pada pertengahan bulan Jun yang juga merupakan masa yang sesuai kerana pada ketika itulah CommunicAsia juga diadakan di Singapura.
3. Pada tahun ini, Nokia memfokuskan mengenai “Your Life, Connected” dan juga “Social Messaging”. Pelbagai promosi seperti kain rentang dan juga slogan di laman-laman sesawang seantero dunia, menggunakan slogan-slogan itu tadi bagi mempromosikan Nokia Connection 2010.
4. Sesuatu yang amat saya tunggu-tunggu ialah ucaptama Nokia Connection 2010 yang akan disempurnakan oleh Jo Harlow iaitu Timbalan Presiden Kanan, Smartphones Sejagat Nokia (Senior Vice President, Global Smartphones). Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengetuai divisi telefon pintar di Nokia. Kedatangan beliau kali ini menjadi satu indikasi bahawa pasaran Asia Pasifik adalah penting dalam strategi Nokia.
5. Disamping itu, saya juga menantikan temuramah yang telah disusun bersama Chris Carr (Timbalan Presiden, Bahagian Jualan, Nokia Asia Pasifik) dan Vlasta Berka (Pengurus Besar Nokia Singapura, Malaysia dan Brunei).
6. Tidak lupa juga, saya berteka-teki samada Nokia akan mengumumkan peranti baru atau tidak pada kali ini. Kebiasaannya, pada setiap kali Nokia Connection diadakan, Nokia pasti akan mengumumkan peranti baru. Contohnya pada tahun 2008, Nokia mnegumumkan E66, manakala pada tahun 2009, E72 pula diumumkan di sini.
7. Nokia juga menganjurkan dewan pameran atau “showcase room” bagi para hadirin menikmati peranti-peranti terbaru serta mengikuti perkembangan Nokia dengan lebih dekat lagi seperti perkhidmatan Ovi dan Forum Nokia. Sudah tentu, kali ini, peranti yang amat saya tunggu-tunggu adalah Nokia N8. Berpeluangkah saya menyentuh dan membelai Nokia N8 di dalam “showcase room”?
8. Pada hari Isnin 14 Jun 2010, lebihkurang jam 10 pagi waktu Singapura, majlis dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Chris Carr. Beliau menegaskan bahawa pasaran Asia Pasifik telah menunjukkan potensi yang memberangsangkan dan berkembang dengan amat pesat. Ini kerana masyarakat disini kini memiliki pilihan untuk mengakses maklumat yang mereka perlukan dan menyelesaikan tugasan harian mereka menggunaka peranti- pintar dari Nokia yang terdiri dari pelbagai jenis dan bentuk.
9. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan menjemput mereka untuk menikmati Nokia Connection 2010.
10. Tidak lama kemudian, giliran Jo Harlow pula untuk naik ke pentas dan beliau memberi ucaptama dengan begitu ringkas dan penuh dengan fakta.
Antara isi-isi penting ucaptama beliau adalah :
- Pasaran telefon bimbit sudah berubah
- Nokia membangunkan dan memfokuskan tenaga pada 3 teknologi utama untuk peranti mudah alih masa hadapan iaitu S40 (untuk telefon biasa), Symbian (untuk telefon pintar) dan MeeGo (untuk peranti pintar mudah alih seperti komputer tablet dan netbook serta telefon media).
- Strategi ini adalah untuk memberikan pengalaman mudah alih yang tidak ada tolok bandingnya.
- Begitu juga dengan harga, Nokia menegaskan bahawa mereka memberikan pilihan yang pelbagai dari harga yang paling tinggi hingga ke harga yang paling rendah supaya semua orang mempunyai peluang untuk berkomunikasi dan berhubung sejajar dengan falsafah Nokia iaitu “Connecting People”.
- Lebih 60% masa yang digunakan oleh pengguna telefon pada hari ini adalah untuk berhubung menggunakan pelbagai cara iaitu panggilan suara, panggilan video, email, sms, pesanan segera (IM), rangkain sosial dan sebagainya.
- Nokia bukan sahaja membangunkan perkakasan tetapi pada masa yang sama, pelbagai perkhidmatan ditawarkan kepada pengguna bagi menjadikan pengalaman pengguna lebih lengkap.
- Nokia menggunakan jenama Ovi untuk perkhidmatannya dan sehingga kini, statistiks menunjukkan jumlah pengguna perkhidmatan-perkhidmatan ini semakin meningkat.
- Ovi Store kini memiliki lebih 90 juta pengguna berdaftar yang memindahturun data sebanyak 1.7 juta kali sehari
- Ovi Maps memiliki lebih 10 juta pengguna berdaftar
- Ovi Mail kini telah menjadi perkhidmatan email pilihan utama bagi pengguna-pengguna di negara seperti Bangladesh dan telah mencapai lebih 10 juta pengguna berdaftar.
- Dengan pasaran-pasaran baru seperti ini, industry telekomunikasi tradisional telah berubah dengan dinamik kerana internet sehinggakan 2/3 populasi global pada hari ini telah berjaya dihubungkan dengan pelbagai cara.
- Beliau juga mengumumkan Nokia X5 kepada orang awam. Ia disasarkan untuk golongan muda yang meminati muzik dan penggila rangkaian sosial serta ingin dihubungkan dengan pelbagai cara. Nokia X5 menggunakan sistem operasi Symbian S60 3rd Edition yang telah dikemaskini dan ditokok tambah dengan beberapa fitur istimewa seperti “Homescreen” yang dipertingkatkan serta fungsi “Surprise Me” yang membolehkan lagu ditukar apabila telefon X5 diputarkan diatas meja.
- Tidak lama selepas itu, Nokia X6 8GB pula diumumkan. Ini adalah satu kejutan sebenarnya kerana pada ketika ini, sudah ada 2 versi Nokia X6 iaitu 32GB dan 16GB. Dalam versi 8GB ini, tidak banyak yang dipertingkatkan. Yang kelihatan pada mata kasar ialah warnanya yang agak lebih gelap berbanding versi sebelumnya.
- Dan saat-saat yang dinantikan pun tiba apabila Jo Harlow mengumumkan Nokia N8. Sebenarnya ia sudah diumumkan beberapa bulan yang lepas tetapi kali ini, dengan liputan media dari Asia Pasifik yang begitu meluas, ia adalah peluang untuk Nokia memberitahu kepada masyarakat (terutmanya masyarakat di Asia Pasifik) bahawa Nokia sedang membangunkan sebuah peranti hebat.
- Seterusnya, Jo Harlow mengumumkan kehadiran Nokia N8 yang disasarkan kepada pengguna-pengguna yang mementingkan kehidupan bersosial di alam maya dan juga mereka yang inginkan pengalaman multimedia yang hebat.
- Menurut beliau, strategi Nokia dalam portfolio peranti mudah alihnya ialah untuk membuat banyak peranti untuk semua golongan supaya mereka dapat sama-sama mengalami dan menikmati penyelesaian terbaik yang ditawarkan oleh Nokia.
- Tambah beliau lagi, selama ini Nokia sentiasa diperlekehkan apabila peranti canggih berkuasa tinggi dibincangkan. Senario ini pasti akan berubah apabila Nokia memperkenalkan peranti-peranti canggihnya untuk memenuhi kehendak pasaran dan segala-galanya baru saja bermula.
11. Setelah Jo Harlow selesai memberikan ucaptama, majlis diteruskan dengan pameran. Hadirin dijemput untuk menikmati peranti-peranti terbaru di dewan pameran.
12. Antara yang disediakan untuk dicuba adalah :
- Nokia N8 (Mmmm… lazat… [telefonnya... bukan model yang memegan telefon tu!] walaupun baru separuh masak kerana masih diperingkat prototaip. Belum siap sepenuhnya)
- Nokia X5 (Funky dan akan menarik perhatian golongan muda)
- Nokia C6 (telefon pintar dengan skrin sentuh serta papan kekunci QWERTY dan fokus kepada Social Messaging)
- Nokia E5 (telefon Eseries yang terbaru)
- Forum Nokia Asia Pasifik memberi pendedahan kepada pembangun perisian terpilih (menampilkan sebuah syarikat pembangun perisian dari Malaysia yang bergelar NerdAttack)
- Bilik khas untuk menikmati pengalaman visual berkualiti tinggi N8 yang disambungkan kepada TV rata melalui kabel HDMI dan audio keliling dikuasakan oleh Dolby Digital yang dipancarkan diseluruh bilik.
13. Saya tidak mahu tergesa-gesa masuk kedalam dewan pameran kerana dengan jumlah pemberita dan hadirin yang ramai, keadaan dewan amat sesak dan sudah tentu saya tidak berpeluang untuk mencuba dan membelai N8 sepuas hati. Jadi, saya tunggu di luar untuk jadual seterusnya.
14. Pada masa yang sama, jamuan sarapan ringan telah disediakan. Memandangkan perut pun sudah mula memainkan lagu berentak Logam Berat, maka tanpa berlengah lagi, saya pun mencubit juadah sedikit demi sedikit
Ikuti sambungan Laporan ini di Bahagian 2 di Symbianku.Com sedikit masa lagi.
- Asri al-Baker
Related posts:
Tags: Nokia, Pengaturcaraan, S60-3rd, S60-5th, Symbian^3
Trackback from your site.
-
http://www.symbianku.com/bahagian-2-laporan-penuh-nokia-connection-2010-di-singapura/ Bahagian 2 – Laporan penuh Nokia Connection 2010 di Singapura « SymbianKu















November 9, 2011: [Naik-Taraf] Opera Mobile 11.5 dan Opera Mini 6.5
November 9, 2011: Produk Symbian-Accenture Yang Akan Datang!
November 5, 2011: UC Browser Pelayar Web Yang Hebat!